Sejak tahun 1990-an, hubungan antara China dengan pelbagai negara ASEAN telah ditingkatkan dari semasa ke semasa. Kedua-dua pihak mula menjalankan perbincangan dan kerjasama yang semakin rapat dalam menangani pelbagai isu serantau dan antarabangsa. Semasa memperkatakan hubungan antara China dengan ASEAN. Puan Khek Caimealy Sysoda berkata: "China telah melakukan usaha yang gigih dalam bidang diplomatik untuk menjalinkan hubungan rakan strategi dengan ASEAN. Perkembangan hubungan yang pesat antara China dengan ASEAN telah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam bidang kebudayaan, pendidikan, tenaga manusia, pelaburan, sains dan teknologi."
Hubungan antara China dengan pelbagai negara ASEAN dalam bidang ekonomi dijangka akan menjadi semakin erat berikutan proses penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN. Semasa memperkatakan tentang penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN, Khek Caimealy Sysoda mengulas bahawa: "Penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN itu merupakan suatu perkara yang amat bererti dan dijalankan dengan amat pesat dan lancar. Dalam proses penubuhan kawasan perdagangan bebas tersebut, langkah-langkah seperti pengurangan tarif yang diambil oleh kedua-dua pihak akan memberi faedah kepada peningkatan kerjasama perdagangan antara ASEAN dengan China."
Kerjasama dua hala antara China dengan Kemboja telah berkembang secara berterusan dan meliputi bidang-bidang yang lebih meluas sejak tahun-tahun kebelakangan ini. Puan Khek Caimealy Sysoda berkata: "Kerjasama China-Kemboja telah mengekalkan aliran perkembangan yang amat baik pada tahun-tahun kebelakangan ini. Kerajaan dan rakyat China telah menyediakan bantuan yang amat besar kepada Kemboja dalam pembangunan ekonomi. Kemboja amat berterima kasih kepada China dalam perkara ini."
Tambah beliau, dalam tempoh 4 hingga 5 tahun yang lalu, China telah membantu Kemboja melatih tenaga manusia yang berjumlah besar melalui kursus jangka pendek dan penawaran kepada mahasiswa negara itu untuk belajar di institusi pengajian tinggi di China. Dalam bidang industri pertanian, China bukan sahaja telah menyediakan bantuan teknikal, tetapi juga membekalkan negara itu dengan pelbagai peralatan pertanian. Dalam bidang kesihatan pula, kerajaan China telah menyediakan bantuan dan sokongan kepada Kemboja untuk mencegah penularan wabak selesema burung di negara itu. Selain itu, syarikat-syarikat China yang kini melabur di Kemboja telah mendorong perkembangan ekonomi dan menyediakan banyak peluang perkerjaan di negara itu.
Pada akhir wawancara itu, Duta Besar Khek Caimealy Sysoda telah melahirkan rasa gembiranya apabila melihat pembangunan China yang pesat dan merakamkan ucapan terima kasih atas bantuan yang diberikan oleh kerajaan dan rakyat China dalam bidang politik dan ekonomi kepada Kemboja. 1 2
|