Pintu Gerbang Tiemen

CRI 2011-09-12 09:57:15

Pintu Gerbang Tiemen terletak 8 kilometer di utara pinggir bandar Korla. Sebagai pintu keluar bagi lembah curam di kawasan hulu Sungai Merak dan tempat yang menghubungkan Xinjiang Selatan dengan Xinjiang Utara pada zaman dahulu, ia amat penting dari segi kedudukan strategik di Jalan Sutera. Pintu gerbang ini mula dibina pada Dinasi Jin China (kira-kira pada tahun 265 hingga 420). Disebabkan kedudukan strategik, ia digelar sebagai salah satu daripada 26 pintu gerbang yang terkenal di China pada masa dahulu.

Terdapat juga sebuah kisah dalam kalangan rakyat di Pintu Gerbang Tiemen. Kononnya, puteri kerajaan Yanqi jatuh cinta dengan seorang gembala kambing. Namun, perdana menteri yang jahat menghasut raja agar menangkap gembala itu dan mengenakan hukuman mati terhadapnya. Apabila mendapat tahu maklumat tersebut, puteri yang bijak itu berjaya menyelamatkan kekasihnya. Setelah mendengar khabar itu, perdana menteri segera menghantar orang untuk mengejar mereka. Pasangan kekasih itu mahu ke luar dari pintu gerbang, tapi malang sekali, jatuh ke jurang yang dalam. Orang tempatan membina pusara puteri dan gembala itu di Bukit Puteri yang berhadapan dengan Pintu Gerbang Tiemen, untuk memperingati pasangan yang mengejar cinta dan kebebasan. (editor: Kesuma)

© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China