Sungai Yarkand

CRI 2011-09-12 09:58:12

Sungai Yarkand terletak di bahagian tenggara kawasan Kaxgar. Sungai sepanjang 996 kilometer ini mengalir dari arah barat daya ke timur laut dan merupakan sungai terbesar di kawasan Kaxgar. Yarkand bermaksud "tanah yang luas" dalam bahasa Uygur. Air sungai ini bersumberkan dari cairan salji Puncak Chogori, dan mata air dasar di barat sungai itu, serta air hujan.

Penduduk yang menghuni tebing sungai bukan sahaja mendapat manfaat daripada Sungai Yarkand, tetapi juga menyebarkan sebuah kisah yang menarik tentang Yarkand.

Kononnya, pada zaman dahulu kala, terdapat sebuah kampung di kaki gunung Kunlun yang terletak di selatan Kaxgar. Yarkand, seorang anak yatim dibesarkan oleh penghuni kampung itu. Ketika Yarkand berusia 18 tahun, kampung itu mengalami kemarau yang luar biasa. Ketua kampung itu mengumpulkan penduduk dan mencadangkan untuk memilih seorang lelaki yang cerdik mencari sumber air. Bagi Yarkand, keputusan itu bukan sahaja memperlihatkan keyakinan penduduk terhadapnya, tetapi juga dianggap sebagai suatu peluang untuk membalas budi penduduk sekampung. Oleh itu, dia tunduk dan menawarkan diri di hadapan penduduk untuk mencari sumber air. Tetapi, dua bulan berlalu, Yarkand tidak dapat menemui sumber air. Makanan dan minuman yang dibawanya sudah habis. Kebetulan, terdapat sebuah gunung salji di depannya. Dia menggenggam salji dan makan salji itu. Walau bagaimanapun, salji bukanlah makanan. Yarkand yang letih akhirnya jatuh. Ketika berbaring di atas salji, dia bermimpi, salji di atas gunung mencair di bawah sinar matahari dan menjadi sebatang sungai yang mengalir ke kampung halamannya. Dia bangun dengan senyum, tetapi di hadapannya tetaplah salji yang putih. Dia berdiri dan terus mencari. Selepas mendaki 99 gunung, teruna ini akhirnya menjumpai seorang tua yang rambutnya putih. Yarkand memberitahu apa yang berlaku di kampung halamannya kepada orang tua. Orang tua itu terharu oleh keikhlasan Yarkand, maka memberikannya sebuah labu air yang salih dan berpesan kepada Yarkand untuk menuang air di dalam labu itu sambil berdiri tegak di tempat yang paling tinggi, supaya mata air keluar. Makin tinggi dia berdiri, makin besar aliran air. Yarkand segera balik ke kampung halaman, dan terus mendaki ke gunung paling tinggi yang terletak di belakang kampung itu. Ketika menghampiri puncak, Yarkand tersandung rotan dan labu air itu pun jatuh ke lembah. Mata air segera keluar di tempat labu air itu jatuh, namun alirannya sangat kecil. Yarkand kesal sekali kerana mata air yang begitu kecil itu tidak mampu membekalkan air kepada penduduk sekampung. Dia meloncat ke lembah itu. Mata air yang kecil itu segera menjadi sebatang sungai yang besar. Selepas itu, bukan sahaja kampung halaman Yarkand, tetapi juga penghuni di kawasan sekitar, mendapat manfaat daripada sungai itu. Atas jasa beliau itu, sungai tersebut diberikan nama Yarkand untuk memperingati pemuda yang berani itu. (editor: Kesuma)

© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China