Yengisar, Kampung Halaman Pisau

CRI 2011-09-12 09:57:50

Kaunti Yengisar terletak antara Kaxgar, bandar terbesar di Xinjiang Selatan dan Kaunti Shache. Ia terkenal dengan pisau yang dikeluarkan di sini.

Panjangnya pisau ini biasanya belasan sentimeter. Pisau yang paling besar panjangnya 50 sentimeter dan yang paling kecil hanya 7 sentimeter. Walaupun banyak bentuk, seperti bulan sabit, perut ikan, helang dan kepala burung lark, pisau Yengisar halus lagi indah. Ia sangat tajam sehingga rambut boleh putus apabila terkena pisau ini. Ciri-ciri pisau Yengisar diperlihatkan menerusi hulunya. Hulu pisau yang hitam dibuat daripada tulang haiwan, yang berkilat daripada keluli, yang putih daripada perak, dan yang kuning daripada gangsa. Terdapat juga hulu pisau yang diukir dengan corak yang indah dan ditatah mutiara, batu delima dan zamrud buatan yang berkilau-kilau. Hiasan seperti ini menyenangkan pembeli.

Terdapat beberapa versi cerita tentang asal usul pisau Yengisar. Salah satu daripadanya mengisahkan bahawa kononnya pada zaman dahulu kala, kehidupan penduduk Yengisar sangat susah kerana tanah di sini tidak subur. Tuhan menganugerahkan seorang tukang pisau kepada kaunti ini. Tukang pisau ini mengajarkan cara-cara membuat pisau kepada penduduk Yengisar. Selepas itu, Yengisar semakin makmur dan menjadi kota baharu. Yengisar bermaksud "kota baharu" dalam bahasa Uygur. Seiring dengan perkembangan kaunti ini, cara-cara menempa pisau juga diwariskan hingga kini.

Walaupun cerita itu mungkin tidak bertepatan dengan fakta, namun pisau itu memang berkait rapat dengan adat resam kehidupan tempatan. Biasanya, etnik minoriti di China melakukan kerja-kerja penternakan. Makanan utama mereka daging lembu atau kambing. Maka, mereka memerlukan pisau yang sesuai untuk memotong daging itu. Etnik Uygur suka sekali akan kambing panggang. Ketika daging lembu dan kambing dihidangkan, tetamu akan mempamerkan pisau sendiri. Pisau yang paling halus dan indah akan menarik perhatian ramai. Pisau Yengisar dijadikan pisau dapur oleh suri rumah tangga etnik Uygur, dan juga dianggap sebagai alat yang paling baik untuk memotong tembikai Hami. (editor: Kesuma)

© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China