Kaunti Markit, Buaian Budaya Dolan

CRI 2011-09-12 09:58:12

Kaunti Markit terletak di bahagian barat Lembangan Tarim, kawasan hilir Sungai Yarkand dan Sungai Tiznap. Ia terletak 1,410 kilometer dari Urumqi. Markit tempat asal Opera Muqam Dolan dan kampung halaman Amannisa Khan, seniwati tersohor Opera Muqam Uygur. Kebanyakan penduduk Markit pandai menyanyi dan menari, terutamanya persembahan Maxrap Dolan dan Muqam Dolan. Budaya Dolan di Markit merupakan warisan budaya etnik Uygur dan bangsa China yang berharga yang bermula pada abad ke-10 dan diwariskan hingga kini.

"Dolan" merupakan nama keluarga sesebuah suku yang menghuni pinggir padang pasir Taklamakan pada zaman purba kala, dan kini berubah menjadi sejenis bentuk budaya. Kaunti Markit di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang merupakan kampung halaman Dolan yang terkenal. Kononnya, suku tersebut mengembara ke sini untuk mengelakkan peperangan, dan menamakan tempat ini dengan nama ketua mereka. Namanya kemudian diubah menjadi Markit. Orang Dolan mengembara secara bebas, mengelilingi hutan pokok Huyang di padang pasir, dan berjaya membina kampung sendiri satu demi satu. Dengan ini, budaya Dolan dikembangkan di Dataran Yarkand.

Sebagai warisan yang paling tipikal bagi Budaya Dolan, Muqam Dolan merupakan peninggalan budaya perburuan orang Dolan pada masa dahulu kala. Muqam dikenali sebagai seni yang menggabungkan puisi, muzik, tarian, permainan dan adat resam. Muqam bermaksud perhimpunan dalam bahasa Arab dan merupakan satu bentuk persembahan muzik, tarian atau nyanyian. Ia bersumber dari budaya asli di Kawasan Barat dan mengalami pengaruh Islam yang banyak. Leluhur etnik Uygur di Markit meluahkan perasaan melalui lagu ketika melakukan kerja-kerja menangkap ikan, memburu dan menternak haiwan. Lagu itu diberikan nama Bayawan yang bermaksud "medan terbuka", lalu berkembang menjadi Muqam Dolan selepas disusun, dipiawaikan dan disebar luas oleh seniwati tersohor etnik Uygur, Amannisa Khan (tahun 1526 - 1560).

Muqam Dolan Uygur merupakan bahagian penting bagi 12 Muqam. Pada hari ini, terdapat pelbagai jenis muqam di dunia, antaranya di Arab, Persi, Turki, India dan Asia Tengah. Walau bagaimanapun, muqam Xinjiang paling banyak terdapat di dunia, kerana muqam ini bercirikan tempatan, termasuk Muqam Dolan, Muqam Ili, Muqam Hami dan Muqam Hotan. Muqam Xinjiang dianggap sebagai inti sari muzik etnik Uygur, dan anak kunci untuk membuka pintu budaya etnik tersebut, serta perpaduan muzik klasik China, India, Greece dan Islam. (editor: Kesuma)

© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China