Artux, Kampung Buah Ara

CRI 2011-09-12 09:58:22

Bandar yang digelar sebagai "kampung buah ara" ini terletak di bahagian barat Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, China. Ibu kota Zhou Autonomi Kirgiz Kizilsu ini dikelilingi Gunung Tianshan, Dataran Tinggi Pamir dan Lembangan Tarim.

Buah ara yang nama saintifiknya "Ficus Carica Linn", disebut "Wu Hua Guo" yang bermakna "buah tidak berbunga" dalam bahasa Mandarin. Ia diperkenalkan di Artux pada kira-kira abad ke-10. Sebenarnya pokok ara ini memang berbunga, tetapi mungkin sebab bunganya sangat kecil dan tidak dapat dilihat, maka diberikan nama ini.

Buah ini sudah lama ditanam di bandar Artux. Terdapat sebuah legenda yang mengharukan tentang buah ara. Kononnya, terdapat seorang penanam buah etnik Uygur di tebing Sungai Boguzi di selatan Artux. Penanam yang namanya Kurban ini menumpukan segala perhatian kepada kebunnya. Salah satu buah berwarna emas yang ditanamnya sangat popular kerana ia bukan sahaja dapat menghilangkan dahaga, tetapi juga dapat mengubat pelbagai penyakit. Buah ini memberikan manfaat yang banyak kepada penduduk tempatan, sehingga nama harumnya sampai ke pengetahuan raja. Raja yang jahat itu memberi arahan agar pokok buah tersebut dipindahkan ke dalam tamannya. Kalau Kurban tidak mematuhi arahan itu, pokoknya akan ditebang, kebunnya akan dimusnahkan, malah kepalanya pun akan dipancung. Kurban yang berasa sangat marah memangkas cabang yang segar dari pokok tersebut dan memberikannya kepada semua penduduk kampung. Dia lalu menanam pokok yang gondol itu di taman raja.

Pada musim bunga, sebatang pokok pun tidak hidup di dalam taman tersebut, sebaliknya, pokok di kebun tebing sungai Boguzi amat rimbun. Bau harum buahnya ditiup angin ke taman raja tersebut. Raja telah menangkap dan mengenakan hukuman yang keras kepada Kurban, serta menebang semua pokok. Kurban menanam semula pokoknya dengan teliti bersama-sama penduduk sekampungnya, dan pokok itu pun bercabang semula. Pada musim bunga, Kurban risau sekali, sebab bau bunga itu akan membawa malapetaka sekali lagi. Penghuni kampung berdoa di depan kuntuman bunga itu supaya ia terus berbuah. Oleh itu, pokok tersebut tidak berbunga pada musim bunga berkenaan.

Demikianlah asal usul tentang nama "Wu Hua Guo" yang bermaksud "buah tidak berbunga". (editor: Kesuma)

© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China