Jumlah korban gempa bumi yang berlaku di Provinsi Sichuan China telah mencecah lebih 12 ribu orang setakat semalam. China sedang bertungkus lumus menjalankan usaha menyelamat secara besar-besaran di kawasan bencana itu. Kini, pasukan penyelamat telah berjaya memasuki kawasan pusat gempa bumi.
Meskipun jarak antara Kaunti Wenchuan, pusat gempa bumi dengan Chengdu, ibu kota Provinsi Sichuan hanya sekitar 100 kilometer, namun, oleh sebab jalan menuju ke Wenchuan telah terputus kerana tanah runtuh, cuaca di sana sangat buruk, dan gegaran susulan sering berlaku, maka usaha menyelamat menghadapi banyak kesukaran. Anggota penyelamat hanya dapat sampai ke Wenchuan dengan berjalan kaki. Pasukan tentera kumpulan pertama hanya tiba di Pekan Yingxiu, Kaunti Wenchuan pada tengah hari semalam. Selepas itu, lebih 800 orang polis tentera tiba di Kaunti Wenchuan secara berturut-turut untuk menjalankan usaha menyelamat. Menurut sumber tempatan, bangunan di Kaunti Wenchuan mengalami kerosakan teruk, dan sejumlah 500 orang disahkan terkorban. Manakala, situasi lebih teruk di Pekan Longxi dan Yingxiu di sekitar Kaunti Wenchuan. Ketika ini, lebih ramai tentera sedang ke Wenchuan.
Perdana Menteri China, Wen Jiabao mengarahkan supaya jalan ke kawasan tersebut diperbaiki dengan secepat mungkin. Beliau berkata:
"Gempa bumi kali ini berukuran besar, pusatnya di Wenchuan. Kini, jalan ke sana terputus. Tentera sedang berusaha membaiki jalan agar mangsa di sana dapat diselaraskan. Pihak tentera akan menghantar seramai mungkin anggota pasukannya ke kawasan itu untuk menjalankan usaha menyelamat jika diperlukan."
Pusat Penyelarasan Tindakan Menyelamat Gempa Bumi sekali lagi mengadakan mesyuarat pada malam semalam. Wen Jiabao meminta pihak-pihak yang berkenaan supaya menyelamatkan mangsa secepat mungkin dan sedapat mungkin meminimumkan korban nyawa dan kecederaan.
Semalam, wartawan Agensi Berita Xinhua, Li Yun yang sedang membuat liputan di Pejabat Pengendalian Kecemasan Jabatan Ketua Turus Tentera China memaklumkan bahawa:
"Berdasarkan statistik, tentera yang telah tiba di kawasan bencana berjumlah lebih 16 ribu orang, manakala lebih 34 ribu lagi sedang dalam perjalanan, dan 20 ribu daripada dapat tiba ke kawasan tersebut pada 13 hari bulan. Pihak tentera juga menggunakan 11 buah kapal terbang tentera dan 9 buah kapal terbang awam untuk membawa pasukan penyelamat ke sana."
Selain tentera, badan-badan yang lain juga menghantar beberapa banyak pasukan penyelamat profesional ke kawasan bencana. Ketua Pengarah Jabatan Bencana dan Bantuan Kementerian Hal Ehwal Awam China, Wang Zhenyao berkata, struktur bangunan berbeza-beza, mangsa dalam runtuhan mungkin masih hidup. Jadi, kerja menyelamat akan dilanjutkan beberapa lama lagi. Beliau berkata:
"Tugas utama ialah menyelamatkan nyawa. Kini penyelamat dengan jumlah yang besar masih diperlukan untuk mencari mangsa yang masih hidup dalam runtuhan, juga untuk menjalankan kerja menyelamat secara besar-besaran. selagi masih ada kemungkinan untuk menyelamatkan mangsa, kerajaan akan terus mengekalkan usaha menyelamat."
Pasukan bantuan perubatan yang dihantar oleh jabatan kesihatan dari pelbagai tempat di China sedang berkejar ke Sichuan. Barang-barang bantuan juga diangkut ke sana secara berterusan. Naib Menteri Hal Ehwal Awam China, Luo Pingfei berkata:
"Kerajaan pusat memperuntukkan 860 juta yuan RMB untuk mpenyelamatkan dan menempatkan mangsa. Kementerian Hal Ehwal Awam China juga telah menyediakan lebih 60 ribu buah khemah dan 50 ribu helai selimut."
Untuk membantu mangsa di kawasan bencana, masyarakat China dari pelbagai peringkat juga turut mengambil bahagian. Setakat pukul 6.00 petang semalam, sumbangan dari pelbagai kalangan masyarakat telah melebihi 220 juta yuan RMB. Di samping itu, banyak negara dan pertubuhan antarabangsa juga menyatakan kesediaan untuk memberikan bantuan kepada China. Pegawai Kementerian Hal Ehwal Awam China menyatakan lagi bahawa China mengalu-alukan bantuan daripada masyarakat antarabangsa untuk kawasan bencana Sichuan ini. Sumbangan yang diterima oleh pihak China akan dihantar ke kawasan bencana tersebut dengan secepat mungkin.
|