Tentera di Bawah Tanah yang Mengagumkan

2018-04-24 14:41:50  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_8BCC861841294DDDE624A43EB2017E87

 

Dalam sejarah China, terdapat satu pasukan tentera empayar yang digelar sebagai penakluk yang paling hebat kerana semangat bersatu padu dan kecekapan mereka berperang. Legenda perjuangan tentera itu dalam usaha menyatukan seluruh negara China telah disebarkan sejak turun-temurun.

Patung askar, kuda dan senjata yang diperbuat daripada tanah liat serta ditanam di bawah tanah ini sudah berusia lebih 2,200 tahun. Kehebatan dan keberanian tentera milik Maharaja Qinshihuang ini dapat dilihat melalui patung Tentera Terracotta yang kelihatan begitu gagah.

Pada masa ini, tapak Tentera Terracotta telah menjadi satu muzium yang bertaraf dunia. Para pengunjung dibenarkan mengambil gambar di Makam No.1 dalam muzium itu yang pencahayaannya amat baik. Anda juga boleh menyaksikan proses kerja ahli arkeologi di Makam No.2, tempat kajian yang masih dijalankan.

Pada masa sekarang, patung Tentera Terracotta bukan sahaja berfungsi sebagai satu wadah bagi penyelidikan sejarah Dinasti Qin, tetapi juga “buku teks hidup” mengenai sains ketenteraan. Malah setiap tahun tentera A.S. turut menghantar satu delegasi untuk berkunjung ke sini dengan tujuan mendapat sesuatu maklumat berkaitan strategi dan taktik Maharaja Qinshihuang menakluk negeri musuh satu demi satu sehingga berjaya menubuhkan kerajaan di negara ini pada masa itu.

 

图片默认标题_fororder_qinshihuanghuaxiang

potret Qinshihuang

Sekarang pengunjung dilarang turun ke bawah makam untuk menyaksikan patung-patung buatan tanah liat menerusi jarak yang dekat untuk melindungi artifak berkenaan. Namun, peraturan ini tidaklah mengecewakan, kerana menghayati kehebatan Terracotta ini tidak bergantung kepada dekat atau jauh jaraknya, tetapi melalui penghayatan dari segi rohani.

Kononnya, setiap patung itu dibuat dengan meniru askar tentera kerajaan Dinasti Qin ketika itu. Ada juga yang berpendapat bahawa setiap patung itu sebenarnya meniru wajah dan tubuh tukang yang menghasilkan patung itu.

Makam Maharaja Qinshihuang sendiri terletak 1,500 meter ke barat Terracotta. Mayat Qinshihuang maharaja yang hebat dalam sejarah China itu diletakkan dalam satu ruangan di bawah tanah berparit dan  diisi dengan merkuri yang melambangkan sungai dan laut, bersilingkan batu permata yang melambangkan bintang-bintang di ruangan angkasa, berdindingkan emas dan batu jed dan dicahayai dengan nyalaan lilin yang dikatakan buatan duyung. Kemewahan dan kemegahan bangunan itu sukar diceritakan dengan kata-kata. Jutaan tukang bina membanting tulang sehingga menghasilkan satu keajaiban yang paling mengagumkan pada zaman itu. Berbanding dengan kemewahan pada zaman silam itu, para pengunjung sekarang ini hanya perlu membayar kurang RMB20 untuk tiket mendaki ke makam itu.

Maharaja Qinshihuang dilihat sebagai salah satu kontroversi yang paling besar dalam sejarah China. Baginda pernah menubuhkan satu empayar yang hebatnya dan luasnya yang tiada tandingannya dalam sejarah sebelum itu, tetapi tidak diberi pujian dan penghormatan yang sepatutnya dinikmati seorang pengasas kerajaan. Baginda bukan raja yang terakhir dalam dinastinya, tetapi diberi penilaian seburuk dengan raja yang terakhir dalam suatu dinasti yang menyaksikan keruntuhan kerajaannya.

 

图片默认标题_fororder_4C9A79729963650F8237768AEE35BA69

 

“Qinshihuang” bermaksud raja yang pertama dalam Dinasti Qin. Baginda betul-betul merupakan raja yang pertama yang berjaya menyatukan seluruh China, sekali gus memberikan contoh kepada ahli politik yang bercita-cita besar dalam zaman berikutnya, iaitu kira-kira 2,200 tahun kemudian. Baginda merupakan pemerintah yang pertama menubuhkan sistem pentadbiran berdasarkan undang-undang, selain yang berdasarkan kewibawaan individu. Baginda juga raja yang pertama menghasilkan bahasa baku, iaitu bahasa Mandarin. Sumbangan baginda itu amat membantu dan membolehkan generasi kini membaca catatan sejarah zaman silam. Baginda juga raja yang pertama menyepadukan sistem pengukuran dan sistem jalan raya di China yang membolehkan integrasi ekonomi diwujudkan ketika itu.

Bagaimanapun, Dinasti Qin yang ditubuhkan oleh Qinshihuang hanya bertahan selama 15 tahun, dan berakhir dengan cara yang amat memalukan, iaitu digulingkan oleh pemberonta rakyat. Segala-galanya berpunca daripada pemerintahan Qin yang kejam. Tidak keterlaluan jika  dikatakan bahawa pengganti Qinshihuang, iaitu putera bagindalah yang menghancurkan kerajaan baginda, memusnahkan sistem pemerintahan yang ditubuhkan baginda dengan susah payah dan menghancurkan cita-cita baginda, sekali gus menconteng arang ke muka baginda.

 

Tip Pelancongan:

Tiket: Harga tiket masuk ke Muzium Terracotta: RMB 120 / seorang, untuk luar musim puncak (1 Disember-akhir Februari); RMB 150 / seorang, untuk musim puncak (1 Mac-akhir November). Tiket pengunjung akan diperiksa empat kali sepanjang lawatan tersebut.

Pengangkutan: Terdapat laluan bas pesiaran dari bandar Xi’an ke Muzium Terracotta. Tambangnya 5 hingga 6 yuan sehala.

王瑾