Corak Masa Depan Baharu Kerjasama China-ASEAN

2018-05-08 17:03:05  CRI
Share with:

Perdana Menteri China, Li Keqiang telah mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung ASEAN, Lim Jock Hoi serta menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-15 perkongsian strategik China-ASEAN di Sekretariat ASEAN di Jakarta semalam.

Kedua-dua pihak berharap mengambil peluang daripada lawatan Li kali ini untuk memperkaya jalinan kerjasama strategik, sekali gus mencorak masa depan baharu kerjasama tersebut.

Pada tahun lepas, jumlah perdagangan China-ASEAN melebihi USD500 bilion (RM1.97 trilion), manakala pelaburan langsung antara satu sama lain pula mencatat USD192 bilion (RM758 bilion). Di samping itu, bilangan warga yang saling melawati mencecah 49 juta. 

Dalam lawatan kali ini, PM Li telah menyatakan kesediaan pihak China untuk memperkasakan sinergi inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R) dengan strategi pembangunan ASEAN. 

Hasrat seumpama itu turut disuarakan oleh Setiausaha Agung ASEAN, Lim Jock Hoi. 

Sinergi itu merujuk kepada penyelarasan antara B&R dengan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025 yang memfokuskan kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan, kewangan, infrastruktur, penggubalan peraturan dan tenaga manusia. 

PM Li menyatakan bahawa China telah mengumumkan langkah-langkah baharu untuk memperluas keterbukaan, dan ASEAN antara pihak yang boleh mendapat manfaat daripadanya dengan lebih awal.  
   
Selain itu, China dan ASEAN komited untuk mempertahankan sistem perdagangan mutilateral yang berlandaskan keterbukaan dan peraturan. 

Li berkata, China dan negara-negara ASEAN antara yang mendapat untung daripada perdagangan bebas. 

Kedua-dua pihak menyokong pemuktamadan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) seawal mungkin agar memberi manfaat lebih besar kepada rakyat serta menyumbang kepada kemakmuran dan kestabilan serantau dan dunia.   
 

张薇