China, Malaysia Meniti Persahabatan 44 Tahun

2018-05-31 11:36:36  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_2004967746

Sempena ulang tahun ke-44 hubungan diplomatik China-Malaysia pada hari ini, Duta Besar China, Bai Tian menerbitkan rencana pengarang melalui media arus perdana Malaysia.

Beliau menyatakan bahawa 44 tahun lalu, Malaysia menjadi negara ASEAN pertama yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China, membuka lembaran baharu hubungan antara satu sama lain. Sepanjang 44 tahun ini, hubungan dua hala, umpama bunga raya yang menjadi bunga kebangsaan Malaysia, bermekaran dengan dinamik sejajar dengan arus sejarah.

Dalam tempoh tersebut, China dan Malaysia memupuk hubungan rakan kongsi strategik yang saling mempercayai. Walau apa jua perubahan yang berlaku di dalam dan luar negara, persahabatan China dan Malaysia dibina berasaskan kesamaan dan kesalingpercayaan, dan berakar dalam jalinan muhibah sesama rakyat. Kedua-dua pihak saling menghormati dan menyokong, di samping bekerjasama secara erat dalam urusan bilateral dan antarabangsa.

China dan Malaysia telah menjadi teman yang berkongsi kepentingan. Jumlah pelaburan Malaysia di China mencecah USD7.58 bilion (RM30.3 bilion), iaitu melebihi pelaburan China di Malaysia.

China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia untuk 9 tahun berturut-turut, dan sumber pelaburan asing terbesar dalam sektor pembuatan Malaysia untuk 2 tahun berturut-turut. China juga kontraktor utama dalam projek pembinaan di Malaysia bertahun-tahun lamanya.

Syarikat China telah memperkenalkan teknologi bertaraf dunia dan pengalaman pengurusan yang maju kepada Malaysia, yang membawa kemasukan modal dalam bentuk pelaburan kepada lebih 300 projek dan mencipta lebih 62,000 peluang kerja.

Pada minggu pertama selepas kerajaan baharu Malaysia dibentuk, tiga lagi syarikat China menanam modal berjumlah RM1.2 bilion di Malaysia.

Dalam tempoh 44 tahun lalu, hubungan China-Malaysia kian kukuh ibarat ikatan persaudaraan. Tinjauan pendapat umum menunjukkan kadar populariti China dalam kalangan rakyat Malaysia mencecah 70%, iaitu paling tinggi antara negara-negara di Asia.

Kini, lebih 2 juta pelancong China memilih Malaysia sebagai destinasi mereka setiap tahun, menjadikan China sumber pelancong asing terbesar bagi Malaysia untuk 6 tahun berturut-turut. Pertukaran siswa antara kedua-dua negara semakin rancak, begitu juga interaksi dalam bidang kemanusiaan dan pendidikan, terutamanya susulan pelancaran rasmi kampus Universiti Xiamen di Malaysia.

Tidak lama dahulu, Malaysia memilih kerajaan baharu dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, sementara China mengadakan Kongres Kebangsaan ke-19 Parti Komunis China dengan jayanya pada tahun lepas. China dan Malaysia sedang menyingkap lembaran baharu hubungan bilateral.

Kerajaan China bersedia berganding bahu dengan kerajaan baharu Malaysia untuk memperdalam jalinan yang diwarisi dari generasi ke generasi, di samping memperluas kerjasama yang saling menguntungkan supaya rakyat kedua-dua negara dapat berkongsi hasil pembangunan.

Beliau yakin dengan usaha bersama pemimpin kedua-dua negara, hubungan China-Malaysia akan berkembang pesat dan bertambah kukuh, hingga membuka babak dan laluan baharu ke arah masa depan yang lebih gemilang.
张弘