Kenyataan Bersama DPRK-AS Tegaskan Semenanjung Bebas Nuklear

2018-06-13 14:24:15  CRI
Share with:

Pemimpin tertinggi Republik Rakyat Demokratik Korea(DPRK), Kim Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani kenyataan bersama dalam pertemuan kali pertama antara pemimpin kedua-dua negara dalam sejarah di Singapura semalam.

Menurut kenyataan bersama itu, DPRK dan AS akan berusaha "menjalin hubungan DPRK-AS yang baharu" dan "membina mekanisme kedamaian yang kekal dan stabil di Semenanjung Korea". Trump berjanji akan menyediakan jaminan keselamatan kepada DPRK, manakala Kim pula menegaskan lagi komitmennya untuk mewujudkan Semenanjung bebas nuklear. Selain itu, rundingan peringkat tinggi antara kedua-dua negara akan diadakan untuk menggalakkan pelaksanaan hasil pertemuan tersebut. 

Kim dalam majlis penandatanganan dokumen menyatakan, kedua-dua pihak akan membiarkan masa lalu dan bersama-sama menyambut "titik permulaan yang baharu". Trump menyatakan, kenyataan itu amat komprehensif dan hubunagan AS-DPRK akan berdepan situasi yang serba baharu.

Dalam sidang media selepas pertemuan, Trump menyatakan, proses Semenanjung Korea bebas daripada nuklear akan dimulakan secepat mungkin, namun proses itu akan mengambil masa yang agak lama. Pihaknya akan mengekalkan sekatan ke atas DPRK sebelum isu nuklear diselesaikan. Beliau juga menanti-nantikan penjalinan hubungan diplomatik kedua-dua negara, tetapi masih belum sampai waktunya.

胡星