Xi Jinping Temu Kim Jong-un

2018-06-20 13:09:48  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_W020180620222021166410

Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) yang juga Presiden China, Xi Jinping bertemu dengan Pengerusi Parti Pekerja Korea (WPK) yang juga Pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Negara Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK), Kim Jong-un di Beijing semalam.


Xi menyatakan China gembira melihat pertemuan antara Kim Jong-un dengan Presiden AS, Donald Trump di Singapura, yang mencapai konsensus dalam usaha mewujudkan Semenanjung Korea bebas senjata nuklear dan membina mekanisme kedamaian berkekalan di semenanjung itu. China menilai tinggi pencapaian tersebut.

Katanya, lawatan Kim ke China kali ini memperlihatkan betapa beliau mementingkan komunikasi strategik antara dua parti dan dua negara.

Kim pula menyatakan beliau amat gembira dapat bertemu lagi dengan Xi dalam masa yang begitu singkat.

Beliau menegaskan bahawa China rakan dan jiran agung bagi DPRK, dan Xi merupakan pemimpin yang sangat dihormati dan dipercayai oleh rakyat DPRK.

Kim merakamkan ucapan terima kasih atas persahabatan dan sokongan China terhadap DPRK, di samping menyatakan beliau akan memimpin semua anggota parti dan rakyat melaksanakan konsensus penting yang dicapai kedua-dua negara bagi melonjakkan ikatan bilateral ke tahap baharu.

Kim menyatakan pertemuannya dengan Trump di Singapura telah mencapai hasil yang sesuai dengan kepentingan semua pihak terlibat serta aspirasi masyarakat antarabangsa. Jika konsensus tersebut dapat dilaksanakan selangkah demi selangkah, usaha merealisasikan Semenanjung Korea bebas senjata nuklear akan membuka prospek baharu.

Beliau memberi penghargaan tinggi terhadap peranan penting China dalam menggalakkan pewujudan Semenanjung Korea bebas senjata nuklear serta memelihara kedamaian dan kestabilan semenanjung itu.

DPRK mahu bersama-sama China dan pihak-pihak lain yang terlibat menggalakkan pembentukan mekanisme kedamaian berkekalan di Semenanjung Korea.
张弘