China, Myanmar Ikrar Kukuh Kerjasama

2018-07-11 16:38:22  CRI
Share with:

China dan Myanmar berikrar untuk memperkukuh persahabatan tradisional serta pertukaran dan kerjasama.

Janji itu dibuat dalam pertemuan antara Pengerusi Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) Myanmar yang juga Penasihat Negara, Aung San Suu Kyi dengan delegasi Parti Komunis China (PKC) yang diketuai ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat PKC, Huang Kunming di Naypyitaw semalam.

Huang, yang juga ketua Jabatan Penerangan Jawatankuasa Pusat PKC, menyatakan bahawa China menyokong usaha Myanmar untuk memelihara kedamaian dan kestabilan dalam negeri serta memajukan pembangunan negara. 

Kedua-dua pihak hendaklah melaksanakan konsensus penting yang sudah dicapai, meningkatkan perkongsian pengalaman pentadbiran, memperdalam pertukaran budaya dan pendidikan, dan melonjakkan perkongsian strategik komprehensif ke tahap baharu.

Suu Kyi pula menyatakan Myanmar dan China sahabat dan jiran yang baik, sambil  merakamkan ucapan terima kasih atas bantuan dan sokongan China sejak sekian lama.
 
Myanmar bersedia bersama-sama China mempererat hubungan peringkat tinggi, mempercepat pembangunan koridor ekonomi dan terus memperkukuh ikatan bilateral. 

Dalam rangka lawatan di Myanmar, Huang Kunming juga menghadiri majlis pelancaran buku "Xi Jinping: Pentadbiran China" edisi bahasa Myanmar yang berlangsung serentak dengan simposium China dan Myanmar mengenai tadbir urus negara.
 

张弘