China, ASEAN Masuk Fasa Berkembang Holistik

2018-08-03 13:56:54  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_W020180803059033319488

Setelah terjalin perkongsian strategik selama 15 tahun, hubungan China-ASEAN memasuki fasa perkembangan secara holistik.

Dalam mesyuarat menteri luar ASEAN dengan China (10+1) di Singapura semalam, Menteri Luar China, Wang Yi mencadangkan penyelarasan pelan pembangunan negara-negara ASEAN dan Wawasan 2025 ASEAN dengan inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R) dipertingkat berdasarkan visi 2030 perkongsian strategik.

Kedua-dua pihak disarankan saling melengkapi serta meneroka potensi dan peluang kerjasama yang lebih luas.

Negara-negara ASEAN dialu-alukan mengambil bahagian dalam latihan maritim bersama yang dijadualkan Oktober nanti, di samping meningkatkan kerjasama antikeganasan, pencegahan bencana dan bantuan kemanusiaan.

Kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan hendaklah digalakkan, begitu juga penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA).

Turut disarankan, 2019 ditetapkan sebagai Tahun Pertukaran Media China-ASEAN bagi merancakkan interaksi pendidikan, pelancongan, media dan belia.

Tahun Inovasi China-ASEAN juga harus dimanfaatkan untuk meningkatkan sinergi melibatkan bandar pintar, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) serta skim "Internet+".

China bersedia bersama-sama negara-negara di lembangan Sungai Mekong bagi membangunkan zon ekonomi Lancang-Mekong, serta terus meningkatkan usaha sama melibatkan kawasan pertumbuhan ASEAN timur.

Para menteri luar ASEAN mengucapkan terima kasih atas sokongan China terhadap pembangunan komuniti ASEAN serta peranan utama ASEAN dalam kerjasama serantau.

Mereka menilai tinggi kemajuan dalam hubungan China-ASEAN, sambil menyifatkan China rakan kongsi paling penting dan efektif.

Inisiatif B&R dilihat sebagai peluang bagi mewujudkan kesalinghubungan serantau dan pembangunan bersama.

Para menteri luar bersepakat bahawa China dan ASEAN perlu mempercepat pemuktamadan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), selain komited menggalakkan perdagangan bebas dan integrasi ekonomi serantau, serta mempertahankan multilateralisme dan sistem perdagangan berasaskan peraturan.

张弘