Niat AS Jelas Kelihatan

2018-08-11 16:38:24  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder___172.100.100.3_temp_16_1_16_1_1_ddb21fe0-4858-47e6-8729-d8feb6e93ca8

Baru-baru ini, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tarif setinggi 25% terhadap produk China bernilai USD16 bilion (RM65 bilion) dikuatkuasakan bermula 23 Ogos.

Susulan itu,  China mengumumkan tarif balas pada kadar sama terhadap produk AS pada kuantiti sama dikuatkuasakan secara serentak.

"Perdagangan tidak adil" dijadikan alasan bagi AS  menaikkan tarif terhadap China, selain pertimbangan dari segi politik domestik. Namun, niat sebenarnya jelas kelihatan iaitu mahu mengekang kebangkitan pesaing bagi mengekalkan hegemoni dolar, mendominasi institusi multilateral dan mengaut keuntungan maksimum.

Pada abad ke-20,  AS pernah dua kali didahului pesaingnya hingga gelisah.

Kali pertama adalah ketika Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bekas Kesatuan Soviet melebihi 60% KDNK AS, yang kemudian bertindak meningkatkan sekatan terhadap blok itu.

Senario sama  berlaku ketika KDNK Jepun mencatat 60% lebih tinggi daripada AS. Di bawah tekanan AS, Jepun telah menandatangani perjanjian Plaza Accord pada tahun 1985 untuk menaikkan nilai yen.

Ternyata, bagi AS, 60% KDNK adalah "garis merah" yang tidak boleh dilepasi. AS tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mencabar "garis merah" itu, tanpa mengira ideologi atau sistem politiknya.

Pada 2014, KDNK China melebihi 60% KDNK AS buat kali pertama. AS memandang China sebagai pesaing yang jauh lebih hebat berbanding yang sebelumnya. Maka, tidak hairanlah negara itu bertindak mengekang kebangkitan China. 

Tindakan berkenaan semakin diperhebat apabila AS melancarkan siasatan 301 terhadap China pada Ogos 2017, serta melabel China sebagai pesaing dalam beberapa laporan yang dikeluarkan mereka. 

Namun, China berkeyakinan penuh mampu menahan  apa jua impak dari luar.

China mempunyai pasaran domestik yang amat besar serta platform kerjasama baharu seperti inisiatif “Jalur dan Laluan" (B&R) yang berprinsipkan berbincang bersama, membangun bersama dan berkongsi. 

Sistem politik China stabil, sementara strategi pembangunan untuk jangka panjang telah pun dirangka. 

China juga mempunyai ekosistem industri yang berskala paling besar dan paling bervariasi di dunia.

Dengan asas pembangunan yang cukup kukuh, China pasti mampu mengharungi pelbagai ujian dan terus mara ke depan.  

曹捷