Masyarakat Antarabangsa Hulur Bantuan Gempa Lombok

2018-08-11 15:01:54  CRI
Share with:
Satu lagi gegaran susulan berukuran 6.2 pada skala Richter melanda Lombok tengah hari kelmarin, menyebabkan sekurang-kurangnya dua maut dan 24 lagi cedera, selain merosakkan banyak bangunan.

Agensi Pencegahan Bencana Nasional (BNPB) memaklumkan sejak gempa bermagnitud 7.0 pada 5 Ogos hingga kelmarin, sebanyak 391 gegaran susulan telah berlaku, mengakibatkan sekurang-kurangnya 321 maut dan 1,033 cedera. 270,168 penduduk kehilangan tempat tinggal selepas puluhan ribu rumah rosak.

Masyarakat antarabangsa terus-menerus menghulurkan bantuan kepada kerajaan Indonesia.

Pada 8 Ogos, Duta Besar China ke Indonesia, Xiao Qian telah menyerahkan bantuan dana sebanyak USD100 ribu (RM407 ribu) kepada Palang Merah Indonesia.

Turut diserahkan, barang bantuan termasuk 2,000 khemah, 2,000 tikar dan 5,000 selimut.

Anak syarikat Hytera di Indonesia, sebuah syarikat pengeluar peralatan telekomunikasi China telah menyumbang produknya untuk menyediakan sokongan teknikal bagi operasi bantuan kemanusiaan.

Sementara itu, Suruhanjaya Eropah mengumumkan pendermaan 150 ribu euro untuk membantu mangsa di kawasan bencana.

Korea Selatan, Australia, Singapura dan Malaysia juga menyatakan kesediaan menghulurkan bantuan kepada Indonesia.

 

曹捷