AS, Rakan Yang Boleh Dipercayai?

2018-08-13 14:39:13  CRI
Share with:

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 10 Ogos lalu mengumumkan tarif import terhadap produk keluli dan aluminium Turki dinaikkan sekali ganda, masing-masing kepada 50% dan 20%.

Keputusan itu diumumkan tatkala mata wang lira Turki menyaksikan nilainya merudum.

Sebelum ini, Washington turut membekukan aset milik peguam negara dan menteri hal ehwal dalam negeri Turki di AS.

Melihat AS sanggup berbuat demikian terhadap rakan sekutunya, persoalan kini timbul sama ada negara itu benar-benar boleh dipercayai?

Kesangsian ini bukan perkara baharu. Malah, Canselor Jerman, Angela Merkel dalam sidang kemuncak Kumpulan 7 (G-7) di Itali tahun lalu telah pun menyatakan rasa kecewa terhadap AS. Katanya, Eropah kini perlu menguasai nasib sendiri, kerana telah berakhir era rakan kongsi boleh dipercayai sepenuhnya.

Empat hari sesudah menyandang jawatan presiden, Donald Trump mengumumkan AS keluar daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP). Bahkan perjanjian iklim Paris yang merupakan hasil usaha bersama pelbagai negara juga diketepikan.

AS turut menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran dan pelbagai institusi antarabangsa termasuk UNESCO dan Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC). 

Bolehkah sebuah negara yang membelakangi komitmennya dan enggan memikul tanggungjawab terhadap dunia, dihormati dan dipercayai oleh negara-negara lain?

Pada Mei lalu, AS  mengumumkan tarif tambahan terhadap produk China, tidak lama selepas mencapai persepakatan untuk menamatkan perang perdagangan.

Walau dalam hubungan bilateral sekalipun negara seumpama itu sukar diyakini, apatah lagi yang berbuat demikian dalam urusan antarabangsa.

徐国玮