Kestabilan Masyarakat Asas Pembangunan Xinjiang

2018-08-14 14:36:49  CRI
Share with:

Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penghapusan Diskriminasi Ras (CERD) mengadakan dialog di Geneva semalam, bagi membincangkan pencapaian China dalam pelaksanaan Konvensyen Antarabangsa bagi Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Ras.
 
Kessel Abdukeram, anggota delegasi China yang juga Presiden Universiti Perubatan Xinjiang berkata, kestabilan masyarakat adalah asas bagi pembangunan wilayah Xinjiang, dan tanpa perpaduan semua etnik, tiada kestabilan masyarakat.

Katanya, pada tahun-tahun kebelakangan ini, Xinjiang aman tenteram, pembangunan sosioekonominya pesat dan membuahkan banyak hasil, malah indeks kebahagiaan rakyat semakin meningkat.
 
Jumlah pelancong yang melawat Xinjiang mencatat 107 juta pada tahun lalu, naik 32.4% berbanding tahun sebelumnya. Sektor pelancongan menjana pertumbuhan ekonomi wilayah itu. 

Sebagai seorang pengamal perubatan, Kessel amat prihatin terhadap beberapa penanda aras kesihatan seperti kadar kematian bayi dan ibu bersalin serta jangka hayat. Dalam tempoh antara 1949 hingga 2017, kadar kematian bayi dan ibu bersalin semakin rendah sedangkan jangka hayat makin tinggi. 

Jumlah penduduk miskin di Xinjiang juga berkurang daripada 5.32 juta pada 1978 kepada 1.43 juta pada tahun lepas. Kesemua penduduk dijangka keluar daripada kemiskinan menjelang tahun 2020.

徐国玮