China Pasaran Robot Perindustrian Terbesar Dunia

2018-08-17 11:29:30  CRI
Share with:

Sebanyak 141,000 unit robot perindustrian dijual di China pada tahun lalu, menjadikan negara ini pasaran terbesar bagi penggunaan teknologi robotik tersebut untuk lima tahun berturut-turut.

Naib Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Xin Guobin dalam ucaptamanya pada forum sempena Persidangan Robot Dunia 2018 di Beijing semalam menyatakan, China mahu terus memperkukuh kerjasama melibatkan inovasi dengan negara-negara lain.

Katanya, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, pengeluaran robot perindustrian di China naik 21%.

Penggunaan teknologi itu menyaksikan pertambahan baik dalam sektor konvensional seperti automotif, elektronik dan pembungkusan makanan, hinggalah sektor khas seperti pembuatan wain dan tembikar.

Pada masa yang sama, teknologi pintar seperti pengecaman suara dan wajah membantu memacu penggunaan robot perkhidmatan dalam senario harian seperti di rumah, sekolah, pusat beli-belah, bank, hospital dan hotel.

Robot bawah air, penjaga keselamatan, pencari dan penyelamat, serta pemusnah bahan letupan juga semakin banyak dikeluarkan.

覃淼