B&R Sediakan Mod Baharu Pembaharuan Tadbir Urus Global

2018-08-29 16:34:21  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping dalam sidang pleno berhubung ulang tahun ke-5 pelaksanaan inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R) di Beijing baru-baru ini berkata, pembangunan B&R selaras dengan pembaharuan sistem tadbir urus global.

Inisiatif itu telah menzahirkan semangat komuniti berkongsi nasib yang menekankan prinsip "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing", serta menyediakan mod baharu bagi memperbaharui sistem tadbir urus seluruh dunia.

Kini, lebih 100 negara dan pertubuhan antarabangsa telah memeterai perjanjian kerjasama mengenai B&R. 

J
umlah perdagangan China dengan negara-negara terlibat melebihi USD5 trilion (RM20.5 trilion), sementara pelaburan langsung China terhadap dunia luar mencatat lebih USD60 bilion (RM246 bilion), dan lebih 200 ribu peluang kerja dicipta. 

Inisiatif B&R telah dimaktubkan dalam resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Majlis Keselamatan PBB.

Profesor Martin Jacques dari Universiti Cambridge Britain berpandangan bahawa banyak negara tertarik untuk bekerjasama dengan China kerana mereka melihat wujudnya "potensi baharu".

"Potensi baharu" itu dilihat dalam B&R yang berteraskan "berbincang bersama, membangun bersama dan berkongsi", prinsip yang dianggap penyelesaian bagi masalah-masalah dalam pembangunan umat manusia 

Konsep "berbincang bersama" menekankan "kesamarataan" dalam tadbir urus moden. Kini, banyak negara membangun gagal mendapatkan sokongan yang mencukupi dari institusi yang didominasi Barat. China menubuhkan Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) dan Tabung Laluan Sutera dengan harapan agar negara-negara terbabit dapat "berdiri sama tinggi, duduk sama rendah". 

"Membangun bersama" mencerminkan asas "keterbukaan". Sepanjang lima tahun lalu, penyelarasan telah diwujudkan antara B&R dengan strategi pembangungn pelbagai negara. Ini telah membawa limpahan manfaat kepada negara dan rakyat terbabit.

B&R adalah inisiatif kerjasama ekonomi, bukannya satu bentuk pakatan geopolitik atau ketenteraan. Pembinaan B&R adalah proses yang terbuka dan inklusif, bukannya "kelab China" yang tertutup.Penglibatan semua negara adalah dialu-alukan.

"Berkongsi" pula bermakna hasil pembangunan dinikmati semua pihak, iaitu inti pati konsep "keuntungan sejagat" dalam tadbir urus global. Walaupun B&R disarankan oleh China, namun hasilnya adalah milik dunia.

Dalam tempoh selama lima tahun lalu, B&R bukan sahaja mendorong kerjasama antarabangsa, malah membantu melengkapkan sistem tadbir urus global. Asalkan semua pihak terlibat berpegang pada prinsip terasnya, iaitu "berbincang bersama, membangun bersama dan berkongsi", nescaya inisiatif itu akan membawa kemakmuran kepada semua.

张宪