Situasi Sebenar Pergeseran Perdagangan China-AS

2018-09-25 15:57:48  CRI
Share with:

24 September, tarikh yang dipilih oleh Amerika Syarikat (AS) untuk menguatkuasakan tarif tambahan terhadap produk China, adalah hari sambutan Pesta Kuih Bulan yang merupakan perayaan tradisional di negara ini.

Pada hari yang sama, Dewan Negara China mengeluarkan Kertas Putih mengenai pergeseran perdagangan China-AS, yang menjelaskan tuduhan tidak berasas terhadap China dalam laporan 301 AS, di samping membentangkan pendirian China dalam hal berkenaan.

Kertas Putih yang dikeluarkan ketika Washington bertindak meruncingkan perang perdagangan tanpa menghiraukan suara bantahan hingga menjejaskan pemulihan ekonomi dunia, nescaya akan membantu masyarakat antarabangsa memahami situasi sebenar secara objektif, serta kesungguhan China untuk meningkatkan rasa saling percaya dan sinergi dengan AS.

Dokumen sepanjang kira-kira 36 ribu perkataan itu dirumuskan dengan data, contoh dan carta dari sumber yang boleh dipercayai, seperti jabatan kerajaan AS sendiri, syarikat multinasional, institusi penyelidikan terkenal dan monograf oleh sarjana. Kandungan utamanya terbahagi kepada enam bahagian, yang memberi penghuraian dalam tiga aspek.

Pertama, dokumen itu menjelaskan situasi sebenar hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS, menganalisis impak perlindungan perdagangan dan hegemoni yang dikejar AS.

Antara alasan utama Washington mencetuskan perang perdagangan dengan China ialah AS mengalami kerugian dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan China. Bagaimanapun, berdasarkan statistik perdagangan dua hala melibatkan komoditi, perkhidmatan dan pelaburan, kerjasama tersebut terbukti saling menguntungkan.

Kertas Putih itu menekankan bahawa prinsip saling menguntungkan dan situasi menang-menang anjuran Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengambil kira perbezaan fasa pembangunan pelbagai negara, iaitu satu bentuk keadilan sebenar sesama negara. Namun, "perdagangan adil" dan "keterbukaan rakan ke rakan" anjuran AS, menafikan perbezaan pelbagai negara dari segi fasa pembangunan, sumber dan kelebihan industri, tidak mempertimbangkan hak negara membangun merintis pembangunan sendiri, hingga menjejaskan ekonomi dan sektor perindustrian mereka.

Kedua, dokumen tersebut telah menjelaskan pendirian China dalam isu ekonomi dan perdagangan dengan AS dan hubungan antarabangsa.

Pendirian China dalam hal ini adalah jelas, konsisten dan teguh. China akan sentiasa mempertahankan maruah dan kepentingan asas negara, menggalakkan perkembangan hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS secara sihat, menjaga dan membaiki sistem perdagangan multilateral, memelihara harta intelek, serta menjamin kepentingan syarikat asing di China. Usaha juga akan dilakukan untuk mengintensifkan pembaharuan dan keterbukaan, mempergiat kerjasama saling menguntungkan dengan negara maju dan negara membangun, dan menyumbang kepada pembinan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Ketiga, dokumen tersebut telah mengemukakan kaedah yang munasabah untuk menyelesaikan pergeseran ekonomi dan perdagangan China-AS.

Menurut kertas putih itu, China dan AS mempunyai fasa pembangunan dan situasi ekonomi yang berbeza. Pergeseran perdagangan antara kedua-dua negara ini adalah hal biasa. Memperkasakan rasa saling percaya, menggalakkan kerjasama dan mengendalikan persengketaan dengan baik adalah kuncinya.

China komited berusaha bersama-sama dengan AS membina order ekonomi dan perdagangan baharu yang seimbang, inklusif dan bersifat menang-menang.

覃淼