Ucapan Video Peng Liyuan pada Mesyuarat UNGA Mengenai Pencegahan TB

2018-09-28 15:08:19  CRI
Share with:


 
Kawan-kawan sekalian, saya Peng Liyuan, Duta Muhibah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi penyakit tuberkulosis (TB) dan AIDS. Di sini, saya ingin mengucapkan tahniah atas penganjuran mesyuarat peringkat tinggi ini serta menyampaikan salam kepada anda semua. 

Saya dilantik menjadi duta bagi mempromosi pencegahan TB di China pada 2007 dan duta muhibah pada 2011. Ini adalah misi dan tanggungjawab yang amat saya hargai. Pada setiap 24 Mac selama lebih sedekad lalu, saya melawat komuniti yang kadar penghidap TBnya tinggi untuk meningkatkan kesedaran awam, mengubah cara hidup mereka dan menggalakkan masyarakat supaya bertindak. 

Tahun ini, saya telah melawat provinsi Hubei di bahagian tengah China. Saya berkongsi pengetahuan mengenai penyakit TB serta cara mengamalkan gaya hidup sihat dengan para pelajar yang berumur belasan tahun dan menegaskan betapa pentingnya menjaga kebersihan diri. 

Di kampung setempat juga, saya bertemu dengan seorang penghidap TB yang sudah sembuh sepenuhnya. Saya menggalakkan beliau untuk menjadi seorang sukarelawan dalam mempromosi pencegahan penyakit TB dan berkongsi pengalamannya dalam memerangi TB dengan lebih ramai orang. 

Ketika lawatan itu, saya juga berpeluang menghadiri satu majlis bagi memberi penghargaan atas pejuang yang membaktikan diri kepada usaha mengawal dan mencegah TB. Sebilangan besar pejuang berjasa ini bertungkus lumus membuat sumbangan di peringkat akar umbi, namun banyak cerita mengenai mereka yang patut dikongsikan.

Biar saya perkenalkan seorang wanita yang bertugas di pusat kesihatan komuniti di provinsi Sichuan. Salah satu tugas utamanya adalah menjaga pesakit TB.

Ketika gempa bumi dahsyat melanda Sichuan pada 2008, kampung halamannya antara yang paling teruk terjejas.

Meskipun bencana itu telah mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan yang cukup besar, namun dia berjaya menghubungi semula kesemua 540 pesakitnya.

Dia berjalan kaki berbatu-batu jauhnya untuk sampai ke tempat pesakitnya, mempertaruhkan nyawa setiap hari selama 20 hari untuk membawa ubat-ubatan kepada mereka yang memerlukan, mengharungi bahaya gegaran susulan.

Sebagai seorang doktor, dia mengetahui dengan jelas betapa pentingnya penghidap TB menyelesaikan rawatan mereka.

Tidak sia-sialah setiap titisan peluh yang dicurahkannya. Setiap satu daripada 540 pesakitnya itu sembuh sepenuhnya, tanpa seorang pun yang menunjukkan tanda-tanda mengalami TB kebal pelbagai ubat (MDR-TB). Sungguh mengagumkan!

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak media dan semua penyokong yang proaktif dalam usaha mencegah penularan penyakit TB.

Berkat kesungguhan kerajaan dan rakyat, termasuk lebih 700,000 sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan program TB China, kadar kesedaran dalam kalangan rakyat kini melebihi 75%. Hasilnya, semakin banyak nyawa telah dapat diselamatkan.

Saya sendiri telah menjadi saksi kepada kemajuan pesat program TB di China. Dengan adanya perkhidmatan perubatan yang lebih baik, diagnosis dan rawatan juga dapat disediakan dengan lebih efisien.

Di sesetengah kawasan, perjuangan memerangi TB sudah menjadi komponen penting dalam program pembasmian kemiskinan.

Kini, kadar pengesanan jangkitan TB terus meningkat, sementara semakin ramai pesakit berjaya diubati. Kadar jangkitan dan kematian akibat epidemik itu terus menurun.

Ketika saya melawat ke luar negara, saya juga cuba memastikan situasi setempat tidak terlepas daripada agenda saya. Saya begitu gembira melihat lebih ramai pesakit mendapat bantuan yang mereka perlukan. Ini adalah hasil usaha bersama kerajaan pelbagai negara, organisasi antarabangsa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar dan sukarelawan, yang memunginkan perubahan berlaku.

Namun, cabaran yang menggentarkan masih wujud, sementara penyakit TB yang kebal pelbagai ubat kekal sebagai ancaman utama. Rawatan yang terhad dan dana yang tidak mencukupi masih menjadi masalah global.

WHO telah melaksanakan “Strategi Tamatkan TB”. Sekarang tibalah masa untuk bertindak.

Saya merayu kepada anda semua supaya bersama-sama berjuang.

Marilah kita bergabung tenaga melakukan segala usaha untuk menambah baik kesejahteraan berjuta-juta rakyat di seluruh dunia yang terjejas akibat TB dan menamatkan kesengsaraan ekoran epidemik itu.

Semoga mesyuarat kali ini mencapai kejayaan!

Terima kasih!
 

张弘