PM China, Singapura Saling Ucap Tahniah

2018-10-09 11:05:15  CRI
Share with:
Perdana Menteri China, Li Keqiang dan Perdana Menteri Singapura, pengerusi bergilir ASEAN, Lee Hsien Loong hari ini saling mengirim kawat tahniah sempena ulang tahun ke-15 perkongsian strategik China-ASEAN.

Li Keqiang menyatakan China antara negara yang paling awal menganggotai Perjanjian Kerjasama dan Persahabatan Asia Tenggara (TAC), juga rakan dialog pertama yang menjalin perkongsian strategik dengan ASEAN. Melalui usaha bersama sepanjang 15 tahun lalu, ikatan antara China dan ASEAN mengekalkan momentum yang sihat dan stabil, rasa saling percaya dalam bidang politik terus meningkat, hubungan ekonomi dan perdagangan semakin rapat, kerjasama saling menguntungkan membuahkan hasil memberangsangkan, sementara pertukaran sosiobudaya amat rancak. Perkembangan hubungan China-ASEAN membawa manfaat besar kepada populasi serantau seramai 2 bilion, sekali gus menggalakkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau bahkan dunia.

Kini, hubungan China-ASEAN telah memasuki fasa penaiktarafan yang lebih matang dan berdepan peluang pembangunan baharu. ASEAN sentiasa diutamakan dalam dasar luar China. China bersedia menjadi rakan kongsi blok itu yang membangun bersama, terbuka, mengutamakan kerjasama saling untung, menggalakkan inovasi dan keinklusifan serta saling menimba pengalaman.

China juga sedia bersama-sama ASEAN melonjakkan perkongsian strategik ke tahap lebih tinggi dan membentuk komuniti berkongsi nasib lebih kukuh demi masa depan yang lebih gemilang.

Lee Hsien Loong pula menyatakan perkongsian strategik ASEAN-China kukuh, pragmatik dan saling menguntungkan. Dalam tempoh 15 tahun lalu, kerjasama antara kedua-dua pihak semakin diperluas dengan menumpukan tiga tonggak utama, iaitu politik dan keselamatan, ekonomi dan perdagangan serta sosiobudaya.

ASEAN dan China komited mengukuhkan kesalinghubungan, dan meningkatkan penyelarasan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025 dengan inisiatif "Jalur dan Laluan" (B&R).

Beliau menanti-nantikan Wawasan 2030 Perkongsian Strategik diluluskan pada Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-21 nanti, bagi merangka hala tuju hubungan bilateral pada masa depan.
张弘