China, Thailand Ikat Kerjasama Sumber Air

2018-10-12 12:18:29  CRI
Share with:
China dan Thailand memeterai perjanjian kerjasama sumber air di bawah Tabung Khas Kerjasama Lancang-Mekong, di Bangkok semalam.

Perjanjian ditandatangani Duta Besar China ke Thailand, Lv Jian dan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (MONRE) Thailand, Wijam Simachaya, disaksikan wakil pihak Thailand serta dari Myanmar, Laos dan Vietnam.

Berdasarkan perjanjian tersebut, China akan membantu Thailand menjalankan penyelidikan mengenai mekanisme untuk menangani perubahan iklim serta projek pembangunan hidroelektrik.

Lv Jian menyatakan bahawa enam negara di lembangan Lancang-Mekong berkongsi nasib dan sumber air. Kerjasama Lancang Mekong (LMC) lahir daripada air, juga diikat oleh air, menjadikan sumber air antara lima tumpuan LMC.

Sejak mekanisme LMC dibentuk lebih dua tahun lalu, kerjasama sumber air melakar pencapaian cemerlang. Mekanisme kerjasama semakin lengkap dengan penubuhan Pusat Kerjasama Sumber Air. Kini, Pelan Tindakan Lima Tahun Kerjasama Sumber Air Lancang-Mekong sedang dibincangkan.

China bersedia mengekalkan momentum kerjasama tersebut, terus bersama-sama negara-negara di lembangan Sungai Mekong termasuk Thailand meningkatkan kerjasama pragmatik dalam rangka LMC demi faedah rakyat.

Wijam merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan dan bantuan China terhadap kerjasama sumber air, yang diyakini akan menggalakkan pembangunan lestari di subrantau berkenaan.

Beliau menyatakan pihaknya menyokong inisiatif komuniti berkongsi nasib Lancang-Mekong untuk kedamaian dan kemakmuran yang disarankan China.

Thailand akan aktif menyertai program kerjasama dalam rangka LMC bagi bersama-sama menghadapi perubahan iklim dan membina tanah yang mesra alam di subrantau.

张弘