SCO Kaji Penubuhan FTA

2018-10-14 14:32:25  CRI
Share with:

Mesyuarat ke-17 Majlis Pemimpin Negara-Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ditutup di Dushabe, Tajikistan kelmarin.

图片默认标题_fororder___172.100.100.3_temp_9500033_1_9500033_1_1_806a71de-3881-42f3-8081-5542bbd0161b

Kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu menegaskan pentingnya memperkukuh sistem perdagangan multilataral, serta menentang apa jua bentuk unilateralisme dan perlindungan perdagangan.

Pada Jun lalu, Sidang Kemuncak SCO di Qingdao telah mengeluarkan kenyataan bersama, menyeru sinergi untuk melindungi sistem perdagangan multilateral yang berasaskan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), di samping menegaskan hasrat terus bekerjasama bagi memudahkan perdagangan antara satu sama lain.

Dalam mesyuarat di Dushabe, beberapa pemimpin termasuk Perdana Menteri Rusia, Dmitry Medvedev turut mengecam amalan perlindungan perdagangan, sekatan sepihak dan perbuatan "memeras ugut" yang dilakukan sesetengah negara.

Hal ini memperlihatkan semakin pentingnya peranan SCO dalam usaha menentang amalan perlindungan perdagangan dan menjaga multilateralisme.

Dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri China, Li Keqiang mencadangkan supaya kajian kebolehlaksanaan mengenai Kawasan Perdagangan Bebas (FTA) SCO dimulakan untuk membentuk mekanisme kerjasama ekonomi serantau yang lebih rapat.

Cadangan tersebut telah mendapatkan respons yang jelas apabila semua pihak terlibat bersepakat menggalakkan pemudahan perdagangan dan pelaburan bagi mewujudkan aliran bebas komoditi, modal, perkhidmatan dan teknologi secara berperingkat.

SCO melibatkan hampir separuh populasi dunia dan menduduki 60% daripada wilayah benua Eurasia, dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mewakili lebih 20% keseluruhan dunia.

张弘