Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Boleh Memecut Pantas Selepas 2020

2018-11-25 13:27:48  CRI
Share with:
Pertumbuhan ekonomi Malaysia boleh memecut dengan pantas selepas 2020 sekiranya harga komoditi meningkat dengan sokongan pemulihan pertumbuhan ekonomi global.

Ketua Pakar Ekonomi Asia Pasifik Moody’s Analytics Steven G. Cochrane berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka perlahan dalam tempoh dua tahun akan datang kerana prospek ekonomi global yang lemah boleh menjejaskan harga komoditi.

"Malaysia, sebagai sebuah ekonomi terbuka, terdedah kepada trend global. Setiap rantau di dunia dijangka mencatatkan pertumbuhan perlahan pada 2019 dan 2020,” katanya kepada Bernama semasa Forum Ekonomi dan Risiko Kredit Moody’s Analytics baru-baru ini.

Cochrane mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mungkin turun daripada 5.9 peratus pada 2017 kepada 4.8 peratus pada 2018, 4.4 peratus pada 2019 dan 3.6 peratus pada 2020.

Cochrane berkata perang perdagangan AS-China juga akan menjejaskan perdagangan dan ekonomi global dan perkara buruk yang boleh berlaku adalah ia akan mengganggu rantaian bekalan dan membawa kepada kemelesetan di ekonomi terbesar dunia itu dan turut menjejaskan ekonomi lain.

"Banyak yang bergantung harap kepada mesyuarat antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping pada Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin G20 di Buenos Aires pada akhir bulan ini.

"Semua akan mencari isyarat daripada Trump dan Xi sekiranya terdapat sebarang penyelesaian bagi perang perdagangan dan sama ada pentadbiran Trump akan membenarkan tarif dinaikkan kepada 25 peratus seperti yang dijadualkan pada tahun depan,” katanya.

Sekiranya tarif dinaikkan dan diperluaskan dengan memasukkan semua perdagangan antara China dan AS, beliau berkata, ia akan menambahkan lagi kesan kepada ekonomi Malaysia dan global.

Bagi Malaysia, beliau berkata, risikonya jelas negatif kerana jangkaan ekonomi global yang
lemah akan menjejaskan harga minyak serta tempahan eksport.

Cochrane menegaskan bahawa usaha Malaysia untuk menambah baik ketelusan dan peralihan lancar kuasa kepada kerajaan baharu tahun ini adalah positif dari segi keyakinan pelabur dan dalam tempoh jangka panjang pengurusan hutang yang baik akan menyokong pertumbuhan ekonomi kerana peruntukan yang kurang untuk melunaskan hutang.

(Sumber dari BERNAMA)
张弘