Perutusan Tahun Baharu 2019 Presiden Xi Jinping

2018-12-31 20:25:29  CRI
Share with:

Di ambang 2019, Presiden China, Xi Jinping menyampaikan perutusan tahun baharu melalui Kumpulan Media China (CMG) dan Internet.

图片默认标题_fororder_1123931807_15462549076881n


Tuan-tuan, puan-puan dan rakan taulan sekalian,

Masa dan musim berlalu tanpa menunggu. Di ambang 2019, saya yang berada di Beijing mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada anda semua! 

Sepanjang tahun ini, setiap langkah diorak teguh.

China telah mengatasi pelbagai kesukaran, menggalakkan pertumbuhan ekonomi berkualiti, mempercepat transformasi penjana lama kepada baharu dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi pada julat yang munasabah. 

Perjuangan melindungi langit biru, air bersih dan tanah murni berjalan lancar, sementara projek-projek yang berkaitan dengan kesejahteraan masyarakat dipercepat dan taraf hidup rakyat semakin meningkat. 

Pelbagai strategi negara seperti pembangunan terselaras Beijing-Tianjin-Hebei, zon ekonomi Sungai Yangtze dan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Makau dilaksanakan secara berperingkat. 

Ketika membuat tinjauan, saya begitu gembira tatkala melihat kedua-dua tebing Sungai Yangtze dipinggiri kehijauan merimbun, sawah padi di Jiansanjiang terbentang luas beralun-alun, daerah Qianhai di Shenzhen dan Zhangjiang di Shanghai cukup dinamik, Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Makau menjadi nadi penyambung tiga tempat tersebut… kesemua ini adalah hasil titik peluh seluruh rakyat.

Pada tahun ini, buatan China, ciptaan China dan binaan China terus mengubah imej negara. Prob penyelidikan Chang’e-4 berjaya dilancarkan; kapal induk kedua China melakukan pelayaran secara percubaan; pesawat amfibia badan besar pertama menjalankan penerbangan sulung; Sistem Satelit Pandu Arah Beidou (BDS) selangkah ke hadapan ke arah membentuk rangkaian global… Dengan ini, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa setiap saintis, jurutera dan tukang yang telah menyumbang bakti. 

Pada tahun ini, satu demi satu kemajuan dilakar dalam usaha membasmi kemiskinan. 125 lagi kaunti telah dibantu mengatasi kemiskinan, manakala 10 juta penduduk desa keluar dari belenggu kemiskinan. Masalah kemiskinan kerana penyakit menunjukkan kemajuan ketara apabila 17 jenis ubat antikanser diberi liputan insurans perubatan. Saya sentiasa prihatin terhadap rakan-rakan di barisan terdepan, termasuk lebih 2.8 juta pegawai di desa yang membaktikan diri tanpa mengenal penat lelah. Mereka diharap menjaga kesihatan diri.

Penduduk yang hidup susah juga sentiasa dekat di hati. Di kampung Sanhe, daerah Liangshan, provinsi Sichuan, saya telah menziarahi dua keluarga etnik Yi. Di kampung Sanjianxi, bandar Jinan, provinsi Shandong, saya duduk berbual-bual kecil dengan keluarga Zhao Shunli. Di komuniti Donghuayuan, bandar Fushun, provinsi Liaoning, saya mengunjungi keluarga Chen Yufang untuk melihat sendiri kediaman baharu setelah berpindah ekoran bencana alam. Di kampung Lianzhang, daerah Qingyuan, provinsi Guangdong, saya bertukar-tukar pendapat dengan penduduk setempat yang miskin, Lu Yihe mengenai cara mengatasi kemiskinan. Wajah mereka yang ikhlas masih bermain di minda hingga kini. Semoga kehidupan mereka semakin sejahtera pada tahun baharu.

Tahun 2018 merupakan ulang tahun ke-40 pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka. Pembaharuan yang sistematik dan holistik telah dijalankan terhadap jentera parti dan negara; lebih 100 langkah pembaharuan diperkenalkan; Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) pertama diadakan dengan jaya; zon rintis perdagangan bebas Hainan mula dibina. Seluruh dunia menyaksikan kepesatan pembaharuan dan keterbukaan serta tekad China untuk meneruskan usaha tersebut. Pembaharuan tidak akan henti, pintu China akan terbuka makin luas.

Pada tahun ini, kebanyakan graduan kumpulan pertama sejak China memulihkan peperiksaan kemasukan universiti telah bersara. Anak-anak yang dilahirkan pada alaf baharu telah pun sampai ke menara gading. Kempen untuk membolehkan lebih 100 juta penduduk migran bertapak di bandar terus dilaksanakan; 13 juta orang mendapat kerja di bandar dan pekan; 5.8 juta unit rumah baharu untuk penduduk yang mendiami komuniti lama sedang dibina. Banyak penduduk Hong Kong, Makau dan Taiwan memperoleh permit untuk tinggal di Tanah Besar. Hong Kong kini sebahagian jaringan kereta api berkelajuan tinggi (HSR). China negara yang makmur dan penuh dinamik. Semua rakyatnya pengejar impian.

Pada saat ini, ingin saya menyebut nama beberapa tokoh yang diberi penghormatan sebagai pewira negara.  Lin Junde dan Zhang Chao, dua pahlawan yang diabadikan sebagai teladan tentera; Wang Jicai yang menjaga pulau selama 32 tahun serta Huang Qun, Song Yuecai dan Jiang Kaibin yang terkorban sewaktu melindungi platform eksperimen. Jasa mereka yang berkorban demi rakyat dan negara patut dikenang dan dicontohi untuk selama-lamanya.

Pada tahun ini, ramai sahabat lama dan baharu datang ke China, tuan rumah pelbagai aktiviti seperti Forum Asia Boao, sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Qingdao dan sidang kemuncak Forum Kerjasama China-Afrika (FOCAC) di Beijing. Setiap kali, China telah menyampaikan pandangan dan suara sendiri. Saya telah melawat lima benua untuk menghadiri aktiviti diplomasi yang penting. Saya dan pemimpin pelbagai negara bertukar-tukar pendapat, mengukuhkan persahabatan dan meningkatkan rasa saling percaya. Lingkungan sahabat China di seluruh dunia semakin luas.

Tahun depan ulang tahun ke-70 penubuhan Republik Rakyat China (PRC). Sepanjang tujuh dekad lalu, rakyat menjadi tunjang negara dan tonggak pentadbiran kerajaan. Setiap langkah dalam perjalanan ini, rakyat China berusaha gigih hingga merealisasikan keajaiban pembangunan. Walau dibadai ribut, petir dan gelombang dalam perjalanan seterusnya, rakyat mesti diutamakan, dengan semangat waja selangkah demi selangkah menyambung perjuangan mulia ini.

Tahun depan membawa peluang dan cabaran, yang memerlukan ganding bahu semua. 

Dasar menurunkan cukai pendapatan peribadi dan kos operasi syarikat perlu dilaksanakan seluruhnya bagi meringankan beban syarikat. Bakat dalam semua sektor harus dihormati dengan ikhlas dan langkah diambil bagi merangsang daya inovasi dan kreativiti mereka. Suara pegawai di peringkat akar umbi hendaklah diambil berat sebagai motivasi untuk  mereka terus berjuang. Matlamat membawa lebih 10 juta penduduk miskin keluar dari kepompong kemiskinan perlu dicapai seperti yang dijadualkan. Veteran tentera yang telah berbakti untuk negara harus diberi layanan setimpal jasa. Pada detik ini, puluhan juta pekerja seperti penghantar ekspres, pembersih dan pemandu teksi masih bertugas. Di sini, ingin saya ucapkan terima kasih kepada mereka.

Melihat  dunia berdepan perubahan yang tidak pernah disaksikan sepanjang abad, keyakinan dan kesungguhan China untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara tidak akan goyah, begitu juga keikhlasan untuk menjaga keamanan dunia dan menjayakan pembangunan bersama. China komited menggalakkan sinergi dalam pembangunan Jalur dan Laluan serta pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan ke arah mewujudkan dunia yang lebih makmur dan indah.

Loceng  tahun baharu akan berdering.  Marilah kita menyambut ketibaan 2019 dengan penuh keyakinan dan harapan.

Semoga China dilimpahi kesejahteraan! Semoga dunia kekal sentosa!

Terima kasih!

 

张弘