Kenderaan perayau, Yutu-2 milik China bergerak lancar di sisi jauh bulan selepas berpisah daripada alat pendarat prob penyelidikan Chang'e-4, yang melakukan pendaratan pagi kelmarin.
Jabatan Pentadbiran Angkasa Negara China (CNSA) memaklumkan dua kemudahan penyelidikan itu kini telah mula menjalankan misi mengumpul data.
Setakat pukul 5 petang semalam, tiga antena sepanjang 5 meter dengan spektrometer radio frekuensi rendah pada alat pendarat telah dibuka seluruhnya, sementera pengesan neutron dan radiasi permukaan bulan milik Jerman diaktifkan untuk ujian. Imej geografi dan geomorf sisi jauh bulan yang diambil dengan kamera turut dihantar balik.
Kenderaan perayau Yutu-2 yang dilengkapi paut penghantaran data dengan satelit geganti Queqiao, menyelesaikan perancangan laluan dan bergerak ke lokasi A di permukaan bulan menurut jadual untuk melaksanakan penyelidikan.
Radar dan kamera panorama pada kenderaan perayau beroperasi dengan lancar, dan pelbagai kemudahan lain juga akan memulakan operasi mengikut jadual.
Selepas itu, alat pendarat Chang'e-4 akan memasuki mod "tidur" untuk menghadapi suhu tinggi pada siang hari di bulan dan dijadualkan kembali beroperasi pada 10 Januari.