Xi Jinping dan Rakyat: Impian China, Impian Rakyat

2019-02-05 10:17:46  CRI
Share with:

Liangjiahe, sebuah kampung kecil yang terletak di Dataran Tinggi Tanah Kuning, barat daya China. Pada tahun 1960-an, remaja bernama Xi Jinping meninggalkan Beijing dan bertolak bersendirian ke Liangjiahe, menghabiskan usia muda dari 15 hingga 22 tahun di sana, merasai kehidupan sebenar di kawasan desa China.

Pengalaman sewaktu hidup bersama-sama masyarakat di peringkat akar umbi amat membuka mata, dan menjadi panduan bagi kerja-kerja praktikal yang dilakukan demi rakyat pada kemudian harinya.

"Pada tahun 1960-an, ketika berumur belasan tahun, saya meninggalkan Beijing dan bertolak bersendirian ke Liangjiahe, kampung kecil di bandar Yan'an, provinsi Shaanxi. Di Liangjiahe, saya menjadi petani. Saya berada di sana selama tujuh tahun. Saya dipilih sebagai Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis China (PKC) di kampung itu. Satu perkara yang saya nanti-nantikan ialah menjadikan penduduk sedesa menikmati daging empuk dan dapat sentiasa makan daging."

Inilah kisah yang dikongsi Xi Jinping semasa lawatan rasmi ke Amerika Syarikat pada 22 Februari 2015.

Marilah menjejak kehidupan Xi Jinping, Presiden China yang juga Setiausaha Agung Parti Komunis China (PKC), dahulunya pemuda terpelajar yang dihantar ke kampung Liangjiahe, akhirnya berketerampilan sebagai pemimpin berjiwa rakyat.

Ketika berada di Liangjiahe, Xi Jinping dengan duit poketnya sendiri pergi ke bandar Mianyang di provinsi Sichuan untuk belajar kaedah membina tangki biogas. Selepas pulang, beliau berjaya membina tangki biogas pertama di provinsi Shaanxi.

Makan dan menginap bersama penduduk tempatan, membina jalan, membina tangki biogas, menganggotai PKC dan dipilih sebagai Setiausaha Jawatankuasa PKC di Liangjiahe......Kehidupan di desa selama tujuh tahun memberikan banyak pengalaman berharga kepada Xi Jinping dan terus memperkukuh keyakinan beliau terhadap pentadbiran yang berorientasikan rakyat.

Dalam satu rencana pengarang, beliau menyatakan selaku penjawat awam, Dataran Tinggi Tanah Kuning menjadi akarnya, kerana tanah itu memupuk hasrat yang tidak berubah, iaitu benar-benar berkhidmat demi rakyat.

Pada ambang Tahun Baharu Cina 2015, Xi Jinping telah kembali ke Liangjiahe, kampung yang sentiasa dirindui sepanjang perpisahan selama 40 tahun.

Apabila sekali lagi menjejakkan kaki di tanah yang pernah menyaksikan kehidupannya selama tujuh tahun di sana, dan berjumpa dengan penduduk sekampung yang tidak pernah dilupakan, Xi Jinping begitu terharu.


Mengenang kembali lawatan ke Liangjiake kali ini, Xi turut menceritakan perubahan kampung itu semasa lawatan ke AS. Beliau berkata, "Liangjiahe memang mengalami perubahan yang amat besar. Jalan tar dibina, penduduk menginap di rumah batu bata dan dapat menikmati internet. Warga emas mempunyai pencen asas, penduduk menikmati insurans perubatan, manakala kanak-kanak dapat mengikuti pendidikan yang baik. Sudah tentu, makan daging tidak menjadi masalah lagi. Kesemua ini menjadikan saya menyedari bahawa impian China adalah impian rakyat, yang hanya dapat direalisasikan jika dikaitkan dengan aspirasi rakyat China untuk menikmati kehidupan yang lebih bahagia."

覃淼