Xi Jinping dan Rakyat: Etnik Minoriti Sentiasa di Hati

2019-02-08 14:48:24  CRI
Share with:

"Semua etnik minoriti hendaklah bersatu teguh umpama isi delima," dan "dalam perjuangan mewujudkan masyarakat kaya secara menyeluruh, tiada satu pun kelompok etnik akan tertinggal."

Demikianlah aspirasi Presiden China, Xi Jinping terhadap perpaduan dan pembangunan bersama seluruh bangsa.

China tanah yang mempunyai 56 kelompok etnik, dan masih banyak etnik minoriti tinggal di tempat terpencil. Bagaimana membolehkan setiap kelompok hidup bahagia dalam keluarga berbilang etnik ini, sentiasa menjadi keprihatinan Xi Jinping selaku pemimpin tertinggi negara.

Sejak Kongres Kebangsaan ke-18 Parti Komunis China (PKC) pada 2012, Xi Jinping telah menjejak kaki ke pelbagai kawasan kediaman etnik minoriti. Biar betapa tingginya gunung dan panjangnya jalan, Xi tetap menghayun langkah untuk melihat sendiri keadaan hidup etnik minoriti, mencari inspirasi bagi menggalakkan pembangunan mereka dan mengukuhkan perpaduan bangsa. 

Pada 2015, Xi mengatur lawatan pertama ke provinsi Yunnan bagi menziarahi penduduk etnik Dulong. Katanya, etnik Dulong mempunyai populasi kecil seramai 6,900, namun tetap anggota keluarga China yang memiliki hak dan kepentingan yang sama dengan 55 etnik lain.

Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang yang mencakupi kira-kira satu perenam keluasan negara China, menjadi tempat tinggal bagi 47 etnik seperti etnik Han, Uygur dan Kazak. Kestabilan dan pembangunan wilayah tersebut sentiasa di minda Presiden Xi. 

Beliau mengunjungi Kashgar di selatan Xinjiang pada April 2014. Di sana, Xi telah meninjau kediaman rakyat jelata serta tanah dan jentera ladang, untuk memastikan dasar kerajaan benar-benar berorientasikan kesejahteraan rakyat.

Pada persidangan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dan Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) 2017, Presiden Xi berkesempatan bertemu dengan delegasi dari Hotan, Xinjiang. Xi telah menyifatkan perpaduan bangsa sebagai tali penghubung antara pelbagai etnik, malah pembangunan Xinjiang serta aspirasi bersama 1.3 bilion rakyat China. 

Beliau berkata, perpaduan negara mesti dihargai sama seperti mata sendiri, dan perpaduan etnik bagaikan nyawa sendiri.

Daerah Xihaigu di Wilayah Autonomi Hui Ningxia didiami penduduk yang kebanyakannya miskin. Sewaktu mengunjungi Ningxia pada Julai 2016, Xi Jinping telah mengenang kembali pengalamanya mengunjungi tempat itu sewaktu masih berkhidmat sebagai Naib Setiausaha Jawatankuasa PKC bagi Provinsi Fujian pada tahun 1997. Ketika itu, beliau terkejut melihat situasi kemiskinan di daerah tersebut. Pengalaman itu membakar hasrat beliau untuk membantu penduduk setempat, yang dizahirkan secara praktik dengan penghantaran kumpulan kerja ke Ningxia.  

20 tahun kemudian, Minning di Ningxia telah dibangunkan daripada kampung mundur kepada sebuah pekan, sementara jumlah penduduknya melonjak daripada 8,000 kepada 60,000. Pendapatan per kapita setahun juga meningkat hampir 20 kali ganda daripada 500 yuan (302 ringgit) kepada 10,000 yuan (6,046 ringgit). 

Xi berkata, beliau berasa besar hati melihat kehidupan penduduk tempatan bertambah baik, dan berharap matlamat pembasmian kemiskinan dapat dicapai di Ningxia dengan secepat mungkin.

胡星