Kenyataan Bukan-Bukan Tidak Jejas Kerjasama

2019-04-17 13:48:19  CRI
Share with:

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo mengadakan lawatan ke Chile, Paraguay, Peru dan Colombia bermula 11 April lalu, bagi melobi keempat-empat negara itu menyokong dasar Washington terhadap Venezuela, termasuk mengenakan lebih banyak sekatan ke atas negara itu.

Sebaik sahaja tiba di Chile, Pompeo mengeluarkan ugutan bahawa China dan Rusia "sudah berdiri di pintu rumah." Jika "dibenarkan masuk", mereka akan "menimbulkan huru-hara di dalam rumah". Kenyataan yang berbaur pemikiran Perang Dingin itu menggambarkan kerisauan AS ketika melihat pengaruhnya merosot di rantau Amerika Latin, di samping mencerminkan rasa tidak puas hati terhadap kerjasama saling untung antara China dengan negara-negara Amerika Latin. 

AS sentiasa memandang Amerika Latin sebagai "halaman belakang" untuk melakukan percubaan hegemoni dan memperkenalkan sistem ekonomi dan masyarakat serta konsep nilai AS. Tetapi, sebagai negara yang tidak membenarkan negara lain mengambil untung daripadanya, AS tidak mungkin memberi sokongan yang diperlukan negara-negara Amerika Latin.

Sebaliknya China dan negara-negara Amerika Latin tidak pernah mencetuskan konflik baik pada zaman dahulu, mahupun sekarang. Malah kedua-dua pihak boleh saling melengkapi dalam usaha memperjuangkan pembangunan. Kini, jumlah perdagangan antara China dengan Amerika Latin telah mencecah USD300 bilion (RM1.24 trilion), menjadikan China rakan dagang terbesar bagi beberapa negara di rantau terlibat seperti Chile, Peru dan Brazil.

Di samping itu, Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) telah menyediakan wadah kerjasama baharu yang saling menguntungkan antara kedua-dua pihak.

Oleh yang demikian, kenyataan serta ugutan bukan-bukan yang berbaur pemikiran Perang Dingin tidak akan menjejaskan arus pembangunan dan kerjasama antara China dan Amerika Latin.

张哲