Xi: Pembangunan Mampan Kunci Selesai Masalah Global

2019-06-08 14:39:22  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder___172.100.100.3_temp_9500032_1_9500032_1_1_cc315aee-1c1e-4343-8057-fb0ae16fc4b2

Presiden China, Xi Jinping menyeru agar sinergi dilipatgandakan untuk menggalakkan pembangunan mampan dan pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Pada sidang pleno Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF) ke-23 semalam, Xi menyifatkan pembangunan mampan "kunci emas" bagi menyelesaikan masalah global semasa, yang bakal membawa limpahan manfaat kepada seluruh umat manusia dan dunia.

Katanya, China akan terus bersama-sama semua pihak berpegang pada konsep pembangunan lestari, memikul tanggungjawab dalam pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan, menjunjung multilateralisme dan membaiki tadbir urus sejagat bagi menggalakkan keamanan berkekalan perkampungan global dan mencipta dunia yang lebih makmur dan indah.

SPIEF ke-23 bertemakan "Cipta Agenda Pembangunan Mampan", yang dipuji Presiden Xi sebagai bertepatan dengan tumpuan masyarakat antarabangsa dan signifikan dari segi praktikal.

Beliau menyatakan dunia kini sedang mengalami perubahan yang tidak pernah disaksikan sepanjang abad. Negara pasaran baru muncul dan negara membangun pantas bangkit, pusingan baharu revolusi teknologi dan perindustrian membawa persaingan sengit, sementara sistem tadbir urus global yang sedia ada semakin tidak sesuai dengan perubahan situasi antarabangsa. Dalam konteks ini, kerjasama saling untung ialah pilihan bijak bagi semua.

图片默认标题_fororder___172.100.100.3_temp_9500032_1_9500032_1_1_ab979e6f-f117-468e-8240-64ecc6b8cb47

Agenda Pembangunan Mampan 2030 PBB menetapkan tiga misi utama iaitu pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial dan perlindungan alam sekitar, gambaran visi baharu bagi pembangunan global.

Xi berkata sebagai negara membangun terbesar serta kuasa besar yang bertanggungjawab, China tidak berganjak daripada memenuhi komitmen terhadap pembangunan mampan, dan sentiasa menitikberatkan kerjasama antarabangsa dalam usaha berkenaan.

Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang dikemukakan Presiden Xi pada 2013 amat padan dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 PBB dari segi matlamat, prinsip dan pendekatan pelaksanaan.

Dalam Forum Kemuncak Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) ke-2 di Beijing April lalu, para peserta bersepakat mengekalkan prinsip berunding bersama, membangun bersama dan berkongsi, menjalin perkongsian saling hubung, meningkatkan penyelarasan BRI dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030, menyelaraskan hubungan antara ekonomi, sosial dan alam sekitar, serta menempuh jalan pembangunan yang hijau, rendah karbon dan lestari.

Xi menegaskan China akan terus memperluas keterbukaan, melonggarkan akses pasaran, membentuk iklim pasaran yang adil, berkongsi hasil pembangunan dengan dunia, dan bersama-sama membina kampung halaman sesama insan yang indah.

Beliau berkata China akan teguh menggalakkan globalisasi ekonomi, memelihara sistem perdagangan multilateral, berusaha menyelesaikan masalah ketidakseimbangan dan ketidaksamaan dalam pembangunan ekonomi dunia, bersedia mempergiat kerjasama saling untung dengan semua pihak berprinsipkan sama rata dan saling hormat, dan memperbanyak peluang untuk negara-negara membangun.

China bersedia berkongsi dapatan terkini penyelidikan dan pembangunan teknologi termasuk 5G bagi bersama-sama memupuk daya saing teras yang baharu.

China juga bersedia meningkatkan interaksi dan kerjasama dengan negara lain melibatkan pembasmian kemiskinan dan jaminan sosial agar peluang untuk rakyat terlibat dalam masyarakat serta merasa bahagia dan selamat dapat dipertingkat.

China akan lebih mementingkan perlindungan alam sekitar dan pembangunan tamadun ekologi dalam kerjasama antarabangsa, di samping memperhebat usaha sama bagi menghadapi perubahan iklim dan perlindungan biodiversiti serta melaksanakan pelbagai konsensus global seperti Perjanjian Paris.

张弘