Jangan Politikkan Insiden Kapal Nelayan Berlanggar

2019-06-18 14:23:14  CRI
Share with:

Perlanggaran kapal nelayan China dan Filipina adalah satu insiden kemalangan yang tidak dijangka, dan tidak harus dipolitikkan.

Demikian dinyatakan jurucakap Kementerian Luar China, Lu Kang dalam sidang akhbar di Beijing semalam.

Pada awal pagi 10 Jun, sebuah kapal nelayan China berlanggar dengan sebuah kapal Filipina di perairan Reed Tablemount, Laut China Selatan.

Jurucakap Istana Presiden Filipina mengesahkan, Presiden Rodrigo Duterte tidak akan menghadiri mesyuarat kabinet tergempar hari ini untuk membincangkan peristiwa itu. Katanya, saluran diplomatik harus dibenarkan memainkan peranannya.

Sehubungan itu, Lu Kang menyatakan China akan menyiasat insiden itu secara menyeluruh, dan bersedia meningkatkan komunikasi dengan Filipina.

Kedua-dua pihak dipercayai mampu mengendalikan isu tersebut dengan baik berdasarkan fakta serta semangat kerjasama dan muhibah.

Katanya, China amat mementingkan keselamatan di laut dan bersedia untuk meningkatkan kerjasama dengan negara-negara pesisir.

胡星