Sentiasa Komited Perluas Keterbukaan

2019-07-03 13:07:19  CRI
Share with:
China mengulang semula kesungguhan untuk memperluas keterbukaan, semasa Forum Davos Musim Panas ke-13 di Dalian, provinsi Liaoning. Ini menyusuli lima inisiatif baharu yang diumumkan semasa sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Osaka minggu lalu.
 
China berjanji akan mendorong keterbukaan sektor perkhidmatan termasuk industri pembuatan dan kewangan, menurunkan tarif keseluruhan, mempertingkat perlindungan harta intelek, di samping memastikan keterbukaan, ketelusan dan kebolehjangkaan bagi pelaburan asing semakin tinggi tarafnya.

Dalam ucapan pada perasmian Forum Davos semalam, Perdana Menteri Li Keqiang menyatakan China akan memperdalam keterbukaan sektor kewangan, selain membatalkan sekatan terhadap nisbah saham modal asing dalam sekuriti, dagangan hadapan dan insurans hayat dengan lebih awal daripada tahun 2021 kepada 2020. 

Kawalan terhadap pelaburan asing dalam telekomunikasi nilai tambah dan pengangkutan pula akan dilonggarkan sementara keterbukaan pasaran bon akan diperluas secara dua hala. 

 
Pada 30 Jun, China mengumumkan edisi baharu langkah-langkah pengurusan bagi akses modal asing serta pelaburan asing di zon rintis perdagangan bebas. Inisiatif itu melonggarkan akses pasaran melibatkan pembekalan gas di bandar, panggung wayang, telekomunikasi nilai tambah serta penerokaan minyak dan gas asli.

Pada hari yang sama, China buat pertama kali menerbitkan senarai industri yang menggalakkan pelaburan asing, meliputi sektor-sektor yang menyokong lebih banyak pelaburan asing dalam industri pembuatan.

Langkah-langkah yang diumumkan tidak sampai dua hari selepas sidang G20 melabuhkan tirai, justeru memperlihatkan betapa kukuhnya tekad China untuk mempertingkat tahap keterbukaan.
曹捷