Penggunaan Modal Asing Terus Meningkat

2019-07-12 14:12:11  CRI
Share with:

Penggunaan sebenar modal asing di China pada separuh pertama tahun ini mencatat RMB478.33 bilion (RM300.87 bilion), meningkat 7.2% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu, tatkala dunia menyaksikan bertambahnya risiko ekonomi dan pertumbuhan pelaburan langsung asing (FDI) makin perlahan, umpama "undi percaya" kepada ekonomi China.

Data yang diumumkan Kementerian Perdagangan China semalam menunjukkan peningkatan paling besar dalam industri-industri teknologi tinggi, dan sumber utama modal asing yang kekal stabil membuktikan China tetap tumpuan pelaburan dari seluruh dunia.

Pada masa ini, fahaman perlindungan dan unilateralisme kian menular, mengakibatkan pelabur antarabangsa kurang keyakinan. Walau bagaimanapun, ekonomi China terkecuali daripada trend kemerosotan FDI yang menyaksikan kejatuhan 13% di seluruh dunia pada tahun lepas. Sebaliknya, pasaran China menarik 4% lebih banyak modal asing berbanding tahun sebelumnya, sekali lagi memperlihatkan daya tarikan unik ekonomi negara ini.

China mempunyai pasaran pengguna seramai 1.4 bilion orang dengan golongan berpendapatan sederhana yang terbesar di dunia. Biarpun gelombang globalisasi berdepan arus yang berlawanan, China teguh memperluas keterbukaannya dan mengoptimumkan iklim perniagaan domestik.

Daripada pelonggaran senarai negatif akses pelaburan asing, pelaksanaan undang-undang pelaburan asing, hinggalah lima inisiatif untuk memperluas keterbukaan yang diumumkan pada sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Osaka, langkah-langkah praktik tersebut telah memperkukuh keyakinan pelabur asing terhadap pasaran China.

Mereka menyedari bahawa peralihan fokus ekonomi China kepada pembangunan berkualiti membuka lebih banyak peluang kepada semua.

胡星