Tambah Tarif, Tambah Risiko Ekonomi Meleset

2019-08-20 11:28:26  CRI
Share with:

Faedah bagi bon perbendaharaan 10 tahun yang merudum ke paras lebih rendah daripada bon 2 tahun, dilihat oleh pelabur sebagai amaran awal ekonomi Amerika Syarikat (AS) menuju ke arah kemelesetan.

Walaupun penasihat-penasihat Rumah Putih mendakwa "tidak berlaku kemelesetan", namun data ekonomi terkini menunjukkan percaturan tarif menambah risiko berlakunya kemelesetan ekonomi di negara tersebut.

Pada suku pertama tahun ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS tumbuh pada kadar 3.1%, namun susut kepada 2.1% pada suku kedua, malah unjuran bagi suku ketiga hanya 1.5%. Rizab Persekutuan (Fed) meramalkan kadar pertumbuhan KDNK sepanjang tahun ini dan depan masing-masing 2.1% dan 2.0%, jauh lebih rendah daripada 2.9% yang direkodkan pada tahun lepas.

Dalam konteks ini, jika AS menaikkan lagi tarif terhadap produk China bernilai USD300 bilion (RM1.22 trilion), yang kebanyakannya barangan pengguna, pastilah harga barangan di pasaran domestik meningkat sama, dan beban kenaikan kos akan ditanggung oleh pengimport dan pengguna sendiri.

Sejarah dan fakta telah membuktikan, tiada pemenang dalam perang perdagangan. Pada masa ini, semua lapisan masyarakat dan industri di AS telah terkena tempias ekoran tarif baharu. Suara yang menentang penambahan tarif juga tidak putus-putus. Bagaimanapun, sesetengah pihak di AS menutup mata kepada data ekonomi dan memekakkan telinga kepada suara-suara yang menentang kenaikan tarif.

Mereka ini dinasihati supaya mematuhi hukum ekonomi dan kembali ke landasan betul untuk membaiki keadaan.

胡星