Wang Yi: Perjanjian Baharu Berita Baik Seluruh Dunia

2019-12-15 15:21:30  CRI
Share with:

Ahli Dewan Negara China, merangkap Menteri Luar, Wang Yi menyatakan, pencapaian persetujuan tentang teks perjanjian ekonomi dan perdagangan fasa pertama oleh China dan Amerika Syarikat (AS) ialah satu berita baik bagi seluruh dunia.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Naib Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Slovenija, Miro Cerar selepas rundingan di Ljubljana semalam.

Wang Yi berkata, China menentang penyelesaian perselisihan perdagangan melalui tarif tambahan kerana tiada pemenang dalam perang dagang. China juga membantah tekanan sepihak kerana ia melanggar peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia(WTO).

Dengan usaha bersama kumpulan kerja China dan AS, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan tentang teks perjanjian ekonomi dan perdagangan fasa pertama berdasarkan prinsip sama rata dan saling hormat. AS akan menarik balik tarif tambahan terhadap produk China secara berperingkat.

Beliau berkata, masih terdapat banyak isu yang harus diselesaikan dalam hubungan China-AS. AS diharap berusaha sehaluan dengan China, mengawal perselisihan dengan berkesan, meningkatkan kerjasama yang saling menguntungkan, menggalakkan hubungan China-AS yang terselaras, kerjasama dan mampan.

Tegasnya, pencapaian perjanjian baharu itu tidak menyasar atau mempengaruhi kepentingan sah pihak ketiga, sebaliknya bermanfaat kepada seluruh dunia.

胡星