Perutusan Tahun Baharu 2020 Presiden Xi Jinping

2019-12-31 19:38:22  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_xijinping

Di ambang 2020, Presiden China, Xi Jinping menyampaikan perutusan tahun baharu melalui Kumpulan Media China (CMG) dan Internet.

 

Tuan-tuan, puan-puan dan rakan taulan sekalian,

Di ambang 2020, saya yang berada di ibu kota Beijing menyampaikan mogaan baik sempena tahun baharu kepada anda semua!

Pada 2019, China menuai banyak hasil yang lahirnya daripada keringat rakyat, mengorak langkah ke hadapan menerusi usaha gigih. Pembangunan berkualiti digalakkan secara berterusan, menyaksikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka menghampiri RMB100 trilion sementara KDNK per kapita melonjak ke tahap USD10 ribu. Tiga perjuangan iaitu mencegah dan merungkai risiko-risiko utama, membasmi kemiskinan secara bersasaran tepat dan mengawal pencemaran menampakkan kemajuan penting. Pembangunan terselaras Beijing-Tianjin-Hebei, pembangunan zon ekonomi Sungai Yangtze, pembangunan kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Makau dan pembangunan berintegrasi Delta Sungai Yangtze dipercepat, manakala perlindungan ekologi di lembangan Sungai Kuning dan pembangunan berkualiti dikenal pasti sebagai strategi negara. Kira-kira 340 kaunti miskin dibantu mengubah status, membawa lebih 10 juta rakyat keluar dari belenggu kemiskinan. Modul penjelajah Chang’e-4 melakukan pendaratan di sisi jauh bulan, buat kali pertama dalam sejarah manusia; roket pembawa Long March-5 Y3 berjaya dilancarkan; kapal pemecah ais Xuelong-2 melakukan pelayaran sulung ke Kutub Selatan; Sistem Satelit Pandu Arah Beidou (BDS) memecut ke arah membentuk rangkaian global; penggunaan teknologi 5G secara komersial makin disebar luas; Lapangan Terbang Antarabangsa Daxing Beijing mula beroperasi… Kesemuanya hasil curahan titik peluh para pejuang pada era baharu ini, memperlihatkan imej dan daya China yang luar biasa istimewa.

Pada sepanjang tahun yang baru berlalu, pembaharuan dan keterbukaan membawa kepada pembangunan lebih dinamik; pembaharuan jentera parti dan negara sudah selesai seluruhnya; zon rintis perdagangan bebas diperbanyak dan zon serupa di Shanghai diperluas; papan inovasi sains dan teknologi didagangkan di bursa saham; cukai pendapatan peribadi dan kos operasi syarikat yang dikurangkan melebihi RMB2 trilion; paras minimum kutipan cukai dinaikkan; harga bagi banyak jenis ubat lebih murah; Internet yang lebih laju dengan kos lebih rendah membolehkan akses lebih pantas; gaya hidup karbon rendah dibudayakan dengan amalan pengisihan sampah; beban yang ditanggung pegawai peringkat akar umbi diringankan. Perubahan baharu dan semangat baharu dapat dilihat di setiap pelosok bumi China.

Sepanjang tahun ini, pembaharuan melibatkan pertahanan negara dan pasukan tentera dilaksanakan bersungguh-sungguh, tentera rakyat memaparkan imej sebagai pasukan kuat pada era baharu. Kita telah mengadakan perbarisan tentera sempena hari kebangsaan, meraikan ulang tahun ke-70 penubuhan angkatan laut dan udara, menganjurkan Sukan Tentera Dunia CISM ke-7. Kita turut menyaksikan perasmian kapal induk pertama buatan sendiri. Tentera rakyat bagaikan tembok besi yang melindungi ibu pertiwi. Marilah kita bersama-sama memberi penghormatan kepada mereka yang setia menjaga tanah air!

Pada 2019, yang mustahil pudar dari ingatan ialah sambutan ulang tahun ke-70 penubuhan Republik Rakyat China. Kita bersorak-sorai melihat pencapaian cemerlang negara dalam tujuh dekad, juga kagum akan semangat patriotisme yang jelas membara. Formasi tentera yang diperiksa tampil dengan gagah berani, rakyat menyertai perarakan awam dengan penuh perasaan, Dataran Tian’anmen dilimpahi suasana riang gembira. Setiap penjuru tanah air dihiasi merah menyala, terukir senyuman bangga pada setiap wajah, lagu “Aku dan Ibu Pertiwi” berkumandang di merata-merata tempat. Rasa cinta negara membuat air mata bergenang, semangat patriotisme menjadi tulang belakang bangsa. Semua ini terhimpun menjadi arus bergerak ke hadapan yang mengangkat nama negara dan perjuangan pada era baharu, menambah kekuatan yang tidak terhingga untuk kita.

Dalam setahun lalu, saya telah menjejak kaki ke banyak tempat. Skrol lukisan Daerah Baharu Xiong’an dibuka gulungannya beransur-ansur; pelabuhan Tianjin sentiasa sibuk; pusat pentadbiran baharu Beijing dinamik; padang rumput Mongolia Dalam terbentang indah; koridor Hexi masih hidup walau telah mengharungi seribu tahun; Sungai Kuning mengalir berderu-deru; kedua-dua tebing Sungai Huangpu makmur dan mempesona…Suasana rancak dapat dirasai di serata negara. Saya menjejak semula perjalanan jauh revolusi China untuk menempa niat asal diri. Dari Yudu di provinsi Jiangxi, tempat tentera merah berkumpul untuk memulakan gerakan Long March hingga muzium revolusi di Xinxian, provinsi Henan, dari monumen di provinsi Gansu hingga memorial revolusi Xiangshan di Beijing, setiap langkah yang diayun membawa banyak renungan, niat asal dan misi yang digalas sumber motivasi untuk kita menempuh perjalanan Long March pada era baharu.

Seperti biasa, biar betapa sibuk sekalipun, saya sentiasa meluangkan masa untuk turun ke padang. Mereka yang diziarahi meluahkan suara hati yang sentiasa pada ingatan saya. Penduduk etnik Dulong di provinsi Yunnan, penduduk desa di provinsi Fujian, askar-askar “Platun Wang Jie”, calon sarjana Universiti Sukan Beijing serta murid-murid sekolah dan sukarelawan warga emas di Makau telah menulis surat kepada saya. Dalam surat balas, saya menyanjung sumbangan mereka, juga menyampaikan mogaan baik.

Pada sepanjang tahun yang baru berlalu, banyak individu dan peristiwa yang menyentuh hati. Zhang Fuqing yang menyemai bakti dalam diam dan tidak pernah mengubah niat asalnya; Huang Wenxiu yang membaktikan masa muda dan jiwa raganya kepada perjuangan membasmi kemiskinan; 31 pahlawan dari Muli, provinsi Sichuan yang bergadai nyawa memadamkan kebakaran; Du Fuguo yang melindungi teman seperjuangan dengan tubuh badannya sendiri; skuad bola tampar wanita negara yang sebelas kali berturut-turut bergelar juara Piala Dunia… Begitu ramai pahlawan yang tidak diketahui nama yang menyumbang bakti tanpa rasa sesal dan kesal. Mereka ini orang biasa yang melalui jalan biasa mencoret riwayat yang luar biasa.

Pada 2019, China terus mengembangkan lengan mendakap dunia. Kita telah menganjurkan Forum Kemuncak Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan ke-2, Ekspo Hortikultur Antarabangsa di Beijing, Persidangan Dialog Tamadun Asia dan Ekspo Import Antarabangsa China ke-2, menonjolkan imej yang bertamadun, terbuka dan inklusif kepada dunia. Saya bertemu dengan pemimpin dan ketua kerajaan banyak negara, peluang untuk berkongsi saranan China, memperkukuh persahabatan dan memperdalam konsensus. Beberapa lagi negara telah menjalin hubungan diplomatik dengan China, menjadikan jumlahnya 180. Lingkungan sahabat China menjangkau hingga ke setiap sudut dunia.

Tahun 2020 batu tanda yang signifikan. Masyarakat kaya secara menyeluruh akan dibentuk, matlamat “seratus tahun” pertama akan menjadi kenyataan. 2020 juga tahun perjuangan akhir untuk membasmi kemiskinan. Semboyan sudah pun berbunyi. Kita hendaklah membulatkan tekad dan menambah usaha, terus mara ke hadapan biar terpaksa mengharungi onak ranjau hingga mencapai kemenangan dalam perjuangan tersebut.

Beberapa hari lepas, saya telah menghadiri aktiviti sambutan ulang tahun ke-20 Makau kembali ke pangkuan tanah air. Saya gembira melihat Makau makmur dan sentosa. Praktik berjaya di Makau membuktikan dasar “satu negara, dua sistem” boleh diamalkan, dapat dilaksanakan dan diterima semua. Pada beberapa bulan kebelakangan ini, situasi di Hong Kong menjadi perhatian. Tanpa suasana yang harmoni dan tenteram, manakan dapat wujud kampung halaman yang penghuninya hidup sejahtera! Semoga sejahteralah Hong Kong dan sejahteralah penduduknya. Kemakmuran Hong Kong idaman saudara setanah air di wilayah itu, juga aspirasi rakyat seluruh negara.

Sungai sejarah mengalir tanpa putus, adakala tenang, adakala bergelora. Kita tidak gentar dibadai hujan ribut mahupun ditimpa halangan dan dugaan yang mendatang. China akan teguh menempuh jalan pembangunan secara damai serta komited menjaga keamanan dunia dan menjana pembangunan bersama. Rakyat China bersedia berganding tangan dengan rakyat sedunia untuk mempergiat usaha sama membangunkan Jalur dan Laluan, sambil menggalakkan pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan demi masa depan lebih indah buat umat manusia.

Pada saat ini, masih ramai yang sedang menjalankan tugas, ramai yang bekerja dengan membanting tulang. Di sini, ingin saya mengucapkan terima kasih kepada mereka.

Marilah kita merebut setiap detik siang dan malam, hargailah zaman muda yang gemilang. Marilah kita bersama-sama menyambut ketibaan tahun 2020.

Selamat Tahun Baharu!

王瑾