Kawalan Wabak Uji Keupayaan Tadbir Urus

2020-01-28 12:44:03  CRI
Share with:

Pada hari ketiga Tahun Baharu Cina (TBC) ini, rakyat China sedang berjuang melawan wabak pneumonia akibat koronavirus jenis baharu.

Ternyata betapa cemas, rumit dan sukarnya kerja-kerja menangani peristiwa kesihatan dan keselamatan awam ini, terutamanya kerana dugaan tersebut timbul pada musim puncak pengangkutan yang digelar "penghijrahan manusia yang terbesar di bumi".

China, gergasi berpopulasi lebih 1.4 bilion dengan kadar urbanisasi melebihi 60%, kini menghadapi ujian besar terhadap keupayaan tadbir urus negara.

Berdepan penularan wabak berkenaan, China memberi respons pantas termasuk menubuhkan sebuah kumpulan kerja pusat dan memperhebat kawalan wabak, rawatan pesakit, penyelidikan saintifik serta pelaporan maklumat.

Dewan Negara telah melanjutkan cuti sempena TBC, Suruhanjaya Kesihatan Negara mengadakan taklimat setiap hari untuk memaklumkan perkembangan terkini, dan semakin banyak kakitangan dan kelengkapan perubatan telah dihantar ke provinsi Hubei. Pembinaan hospital sementara di bandar Wuhan juga sedang berjalan lancar.


Dengan pelaksanaan langkah-langkah yang fleksibel, cekap dan tepat, keselamatan nyawa dan kesihatan rakyat mendapat jaminan pada tahap maksimum.

Pada masa yang sama, China terus memaklumkan situasi dari semasa ke semasa bagi mengelakkan penyebaran berita palsu, dan merapatkan kerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia termasuk berkongsi maklumat teknikal dan keseluruhan urutan genom bagi sebahagian virus berkenaan.

Respons pantas yang diambil China telah mendapat pengiktirafan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Jurnal perubatan The Lancet pula menyatakan, langkah respons China semakin menghampiri standard antarabangsa baik dari segi pengasingan orang yang disyaki dijangkiti dan orang yang bergaul rapat dengan mereka, mahupun kaedah diagnosis dan rawatan serta aktiviti bagi meningkatkan kesedaran awam.

Dugaan ini belum berakhir, dan China akan
mengambil langkah-langkah lebih ketat bagi meningkatkan keupayaan mencegah dan mengawal wabak mengikut perkembangan situasi.

曹捷