Wang Yi Temu Vivian Balakrishnan

2020-02-20 11:15:47  CRI
Share with:

Menteri Luar China, Wang Yi bertemu dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Vivian Balakrishnan di Vientiane, Laos malam tadi. Kedua-dua menteri dijadualkan menghadiri mesyuarat khas menteri-menteri luar China-ASEAN mengenai wabak koronavirus baharu (COVID-19) hari ini. 

Wang Yi berkata, beliau berharap mesyuarat berkenaan bukan sahaja akan meneroka kaedah untuk menghadapi wabak tersebut, malah meningkatkan kerjasama kesihatan serta memperkasakan kemampuan negara-negara serantau untuk menangani cabaran yang dibawa oleh wabak seumpama ini. 

Sambil memperkenalkan kemajuan dalam usaha China menghalang penularan wabak itu, Wang turut menyampaikan penghargaan atas bantuan daripada Singapura, yang sekali lagi mencerminkan tradisi bantu-membantu antara kedua-dua negara untuk mengatasi masa-masa sukar. 

Katanya, tahun ini merupakan ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik China dengan Singapura. China berharap Singapura terus aktif menggalakkan pembangunan Jalur dan Laluan, kesalinghubungan ASEAN, serta penandatanganan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) seperti yang dijadualkan. 

Vivian pula berkata, pihaknya amat menghargai usaha gigih dan pengorbanan yang telah dibuat oleh China bagi menghalang penularan wabak COVID-19. Singapura bersedia untuk terus memberikan sokongan kepada China, serta merancakkan komunikasi dan kerjasama bagi meminimumkan impak wabak kali ini.
 
Beliau menambah, Singapura bersedia menggalakkan penandatanganan RCEP dan aktif terlibat dalam pembangunan Jalur dan Laluan.

王瑾