Rakyat Malaysia dari Wuhan Selamat Tiba di KL

2020-02-26 10:35:35  CRI
Share with:

图片默认标题_fororder_傲游截图20200226095705

Sembilan rakyat Malaysia yang dijadualkan pulang hari ini dari Wuhan, China tidak dapat menaiki pesawat atas faktor kesihatan dan logistik.

Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam satu kenyataan berkata, hanya 66 rakyat Malaysia melepasi saringan kesihatan yang dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe, Wuhan.

“Enam orang yang hadir di lapangan terbang tidak dapat menaiki pesawat berkenaan disebabkan isu kesihatan, seorang tarik diri dengan tidak hadirkan diri ke lapangan terbang, seorang tidak dapat turut serta disebabkan komitmen kerja manakala seorang lagi tidak dapat meninggalkan Wuhan kerana mengalami kesukaran untuk mendapatkan kenderaan menuju ke lapangan terbang. Ini bermakna, antara 75 penumpang yang dijadualkan pulang sebelum ini, sembilan daripadanya tidak dapat pulang ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di Putrajaya hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan, penerbangan AirAsia AK8265 bertolak dari Wuhan pada jam 1.45 pagi tadi dan tiba pada jam 6.50 pagi ini.

Selain membawa pulang rakyat Malaysia yang bermastautin di sana, penerbangan itu turut membawa 12 kru penerbangan, sembilan wakil agensi kerajaan dari Malaysia serta dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

Tambahnya, kejayaan misi kedua untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan itu hasil kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk dari KLN, Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) dan Kementerian Kesihatan.

“Hubungan baik dan kerjasama yang erat antara kerajaan Malaysia dan China juga menjadi penyumbang utama kejayaan ini.”

Kemajuan tersebut juga dianggap menggambarkan hubungan persahabatan yang kukuh antara kedua-dua negara.

Terdahulu, bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilaporkan berkata hanya rakyat Malaysia di Wuhan yang sihat dan negatif wabak COVID-19 akan dibenarkan menaiki pesawat untuk dibawa pulang ke tanah air sebelum menjalani kuarantin di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) Nilai, selama 14 hari sejurus tiba di negara ini.

(Sumber dari BH)

林莹