Tiada gunanya bagi mana-mana pegawai AS memasang niat untuk menghasut perselisihan antara China dengan negara-negara lain.
Laman sesawang politik The Daily Beast baru-baru ini mendedahkan sebuah telegram dalaman serta ucapan pegawai kanan Washington yang mahu menggunakan jentera negara untuk memburuk-burukkan China, supaya dapat mengelakkan tekanan politik dan mengaut sokongan bagi pilihan raya akan datang.
Percaturan sedemikian pada saat banyak negara masih lagi bergelut dengan penularan wabak COVID-19, sudah pasti dihentam kritikan dari pelbagai hala.
Melihat percubaan untuk mengambinghitamkan China gagal, mereka beralih taktik dan cuba pula mengganggu hubungan China dengan negara-negara lain.
Pada masa ini, situasi kawalan wabak di China terus bertambah baik. Sambil berjuang bermati-matian untuk mengatasi kesukaran di dalam negeri sendiri, China juga menghulurkan bantuan kepada negara-negara lain yang memerlukan. Warganet termasuk dari Itali, rata-rata mengucapkan terima kasih atas pertolongan daripada China.
Tidak senang melihat senario ini, Setiausaha Negara, Mike Pompeo sengaja mengapi-apikan China dan Itali untuk menggugat hubungan dan ikatan persahabatan antara kedua-dua pihak, semasa duduk bertemu bual dengan Fox TV.
Penasihat perdagangan Rumah Putih, Peter Navarro pula menuduh bahawa bantuan yang dihulurkan China kepada negara-negara lain bertujuan melebarkan pengaruh sendiri.
Dengan nada sama, sebuah rencana yang disiarkan akhbar The New York Times mendakwa ada agenda lain di sebalik bantuan perubatan yang disediakan oleh China pada tempoh pandemik ini.
Daripada selaran yang semakin menjadi-jadi hinggalah percubaan untuk menghasut konflik, AS bukan sahaja gagal menunjukkan sikap bermoral dan bertanggungjawab selaku sebuah negara besar, bahkan hanya bercakap bukan-bukan tentang bantuan China kepada negara lain. Mentaliti yang terlalu mementingkan diri ini benar-benar menggambarkan dasar “utamakan AS”, juga satu gangguan besar terhadap kerjasama antarabangsa untuk menewaskan wabak.