Bila Lagi Mahu Singkir Prejudis?

2020-03-27 14:21:34  CRI
Share with:

Gara-gara tuntutan tidak masuk akal oleh seorang peserta yang prejudisnya melampau, mesyuarat menteri-menteri luar Kumpulan Tujuh (G7) berakhir dengan kegagalan untuk mencapai sebarang pengumuman bersama.

Pada Rabu lalu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo cuba untuk memasukkan ungkapan “virus Wuhan” dalam kenyataan para menteri, namun ditolak oleh peserta-peserta lain.

CNN pada hari yang sama memetik seorang diplomat dari Eropah sebagai berkata, usul yang dipanjangkan oleh Jabatan Negara AS itu menyentuh garis batas, dan tindakan yang melabelkan virus bahkan cuba menyebarkan stigma sedemikian mustahil dipersetujui.

Pada masa ini, AS sedang bergelut dengan situasi wabak yang cukup bahaya, menyaksikan jumlah kes COVID-19 melambung kepada kira-kira 80 ribu. Cukup mencemaskan apabila bilangan jangkitan baharu di seluruh negara itu melebihi 10 ribu sehari untuk beberapa hari berturut-turut.

Pada 24 Mac, jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah meramalkan bahawa AS kemungkinan menjadi pusat penularan baharu wabak COVID-19 di dunia.

Walaupun pemimpin AS mendakwa mereka tidak lagi akan menggunakan panggilan “virus China”, tetapi kata-kata dan kelakuan Pompeo menunjukkan sesetengah politikus Washington masih belum melepaskan sikap bermusuhan serta prejudis terhadap China, dan tetap mahu menggunakan setiap peluang yang ada untuk memburuk-burukkan China dengan stigma. Ini ternyata satu percubaan untuk mengalihkan perhatian masyarakat awam daripada kegagalan kerajaan melawan wabak.

Politikus yang berkenaan diharap dapat mendengar suara-suara rasional baik di lingkungan antarabangsa mahupun di dalam negeri sendiri, dan serta-merta menghentikan segala tindakan yang tidak membantu AS mengatasi wabak malahan hanya akan menghalang kerjasama antarabangsa dalam perjuangan ini.

高蕾