Makin Kuat Menyelar, Makin Jauh Terpulau

2020-03-30 14:06:03  CRI
Share with:

Bekas timbalan penasihat keselamatan negara Rumah Putih, Ben Rhodes baru-baru ini mengkritik perbuatan sesetengah politikus AS termasuk Setiausaha Negara, Mike Pompeo yang tidak putus-putus memburukkan nama China dengan stigma.

Rhodes menegaskan tiada negara di dunia yang memanggil wabak COVID-19 sebagai “virus China” atau “virus Wuhan”, mendakwa perbuatan seumpama sama sekali bukan strategi geopolitik.

Pompeo, tokoh paling lantang menunjang sentimen anti-China dalam kerajaan semasa AS, tidak pernah melepaskan peluang untuk menyelar China dan menyebarkan “teori konspirasi” mengenai negara ini. Ujarannya yang penuh dengan mentaliti Perang Dingin dan prejudis bukan sahaja mengejutkan dunia, malah mengganggu gugat kerjasama sejagat melawan wabak COVID-19.

Baru-baru ini, pemimpin AS mula mengambil sikap lebih aktif dalam kerjasama antarabangsa yang berkenaan. Bahkan, dalam panggilan telefon dengan rakan sejawatnya dari China, Presiden Donald Trump menzahirkan komitmen untuk menghapuskan segala gangguan dan memastikan kelancaran sinergi antara kedua-dua negara. Pompeo bagaimanapun tetap membuat ribut menentang perkembangan ini, berdegil hendak menghambat usaha sama China dan AS untuk melawan epidemik koronavirus.

Ramai sarjana yang mengkaji isu-isu antarabangsa telah menegaskan bahawa Pompeo sengaja berbuat demikian kerana mahu memenuhi keperluan sesetengah kumpulan berkepentingan khas. Kelakuannya itu juga bertujuan membolehkan dirinya mengaut sebanyak-banyak kepentingan peribadi tatkala suasana politik dalam negeri bergelut ketidakpastian, sebagai modal bagi mencapai cita-cita untuk menjadi presiden.

AS kini berdepan pelbagai kesukaran untuk melawan wabak COVID-19, bahana daripada perbuatan Pompeo yang menjadikan negara itu semakin terpulau. Bagi diplomat tertinggi seperti Pompeo, tindakan semberono demi kepentingan diri adalah pada asasnya sama dengan perbuatan memperjudikan nyawa manusia. Jika AS terus membiarkan sesetengah pihak menggadaikan kepentingan awam kerana kepentingan sendiri, buruklah padah yang perlu ditanggung kelak.

王瑾