Peng Liyuan, isteri Presiden Xi Jinping, memberitahu bahawa China sentiasa mendukung usaha pemerkasaan kaum wanita dan pembasmian kemiskinan di peringkat global.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan menerusi pautan video untuk satu simposium di Beijing bagi memperingati ulang tahun ke-25 Persidangan Wanita Sedunia keempat dan ulang tahun ke-5 Sidang Kemuncak Wanita Global.
Dalam acara pagi tadi, beliau menyatakan bahawa China akan merealisasikan sasarannya untuk membantu semua penduduk miskin di kawasan desa keluar dari belenggu kemiskinan pada tahun ini, iaitu sepuluh tahun lebih awal daripada matlamat Agenda Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sementara itu, China komited untuk membantu golongan wanita yang dihimpit kemiskinan mengubah status hidup dan memajukan diri mereka. Langkah-langkah yang dilaksanakan termasuk dari segi ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan, jaminan sosial, kesihatan dan kebajikan, kini telah menampakkan hasil yang cukup memuaskan.
Beliau menyeru supaya semua negara menggembleng tenaga bagi memastikan kaum wanita diberikan akses sama rata kepada pendidikan berkualiti dan peluang pekerjaan, di samping menggalakkan usaha pemerkasaan wanita bergerak maju seiring pembangunan sosioekonomi.