Peranan PBB Pasca Wabak, Xi Aju Saranan

2020-09-22 11:20:52  CRI
Share with:

Peranan PBB Pasca Wabak, Xi Aju Saranan_fororder_1126522719_16007048961161n

Presiden China, Xi Jinping menyampaikan ucapan dalam persidangan peringkat tinggi sempena ulang tahun ke-75 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menerusi pautan video semalam.

Beliau berkata, masyarakat manusia dan multilateralisme telah menyaksikan perkembangan yang pesat dalam tempoh 75 tahun lalu sejak penubuhan PBB. Walaupun kerap kali berhadapan pelbagai cabaran, namun PBB kekal dinamik dengan membawa aspirasi lebih 7 bilion rakyat terhadap hidup lebih bahagia.

Xi menegaskan bahawa dunia sedang mengalami perubahan yang tidak pernah disaksikan sepanjang abad, di samping berdepan cabaran serius akibat penularan wabak COVID-19. Ancaman dan cabaran bersifat global perlu ditangani melalui usaha bersama dunia.

Beliau turut mengemukakan cadangan dalam empat perkara mengenai peranan PBB pasca COVID-19.

Pertama, menegakkan keadilan. Semua negara baik besar mahupun kecil harus saling menghormati dan menikmati kesamarataan. Hal ini juga prinsip utama Piagam PBB. Dalam pada itu, prinsip berunding bersama, membangun bersama dan berkongsi perlu dipertahankan.

Kedua,  menjunjung kedaulatan undang-undang. Negara kuasa besar harus menjadi teladan sebagai pendukung kedaulatan undang-undang antarabangsa, di samping mengelakkan amalan dwistandard.

Ketiga, menggalakkan kerjasama. Pelbagai negara hendaklah berusaha memperluas kepentingan bersama dan menubuhkan keluarga antarabangsa harmoni yang berorientasikan kerjasama. Dalam pada itu, konflik, tindakan memaksa dan mainan campur tolak perlu digantikan dengan dialog, perundingan dan situasi untung-untung.

Keempat, memberi tumpuan kepada tindakan sebenar yang menyasarkan matlamat tertentu, terutamanya dalam melaksanakan multilateralisme serta memajukan keselamatan, pembangunan dan hak asasi manusia secara seimbang.

Tegas beliau, China akan sentiasa menjadi pengamal multilateralisme dan proaktif menyertai pembaharuan dan pembinaan sistem tadbir urus global, di samping komited mempertahankan sistem antarabangsa yang berteraskan PBB.

张哲