China Jadi Tunjang Utama Multilateralisme

2020-09-24 13:05:49  CRI
Share with:

Perutusan Presiden China Xi Jinping semasa perbahasan umum pada sesi ke-75 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) memperlihatkan iltizam negara ini menggembleng tenaga dengan masyarakat antarabangsa bagi mengatasi cabaran ekoran penularan pandemik COVID-19.

Xi dalam perutusannya mengetengahkan empat saranan mengenai usaha menangani COVID-19 di lingkungan sejagat, antaranya termasuk mengamalkan prinsip “rakyat didahulukan, nyawa diutamakan”; meningkatkan perpaduan; menggariskan pelan tindakan pencegahan wabak secara komprehensif untuk jangka masa panjang; serta menyalurkan bantuan kepada negara membangun, khususnya negara Afrika.

Kesemua saranan tersebut terhasil daripada pengalaman China memerangi COVID-19, malah buah fikiran terhadap situasi kawalan wabak di serata dunia, yang turut diangkat sebagai bimbingan kepada usaha sama menghapuskan wabak berkenaan di peringkat global.

Presiden Xi berjanji akan terus memberi sokongan padu kepada PBB, dengan mengumumkan empat tindakan antaranya menyediakan dana tambahan berjumlah USD50 juta (RM208 juta) untuk menyokong pelan respons kemanusiaan PBB bagi menangani COVID-19 di lingkungan sejagat; dan menubuhkan Tabung Amanah Kerjasama Selatan-Selatan fasa ketiga yang berskala USD50 juta dengan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO).

Sikap dan komitmen Presiden itu memaparkan imej China selaku sebuah kuasa yang bertanggungjawab, hingga menyumbang kepada usaha memelihara multilateralisme di persada dunia.

Pakar Uzbekistan, Tursunali Kuzyev memuji komitmen terhadap multilateralisme yang ditekankan Presiden Xi sebagai berharga dan besar maknanya buat dunia ketika ini kerana menggariskan hala tuju pembangunan ke arah masa hadapan yang lebih baik.

董筱娉