Trend Pertukaran Sektor Pelancongan dan Pendidikan Malaysia-China Akan Kembali Pulih

2020-12-16 15:38:50  CRI
Share with:

Trend Pertukaran Sektor Pelancongan dan Pendidikan Malaysia-China Akan Kembali Pulih

Duta Malaysia ke China, Raja Dato’ Nushirwan Zainal Abidin memberi bayangan bahawa trend pertukaran dalam sektor pelancongan dan pendidikan antara Malaysia dengan China akan kembali pulih pada tempoh pasca COVID-19.

Menurut beliau, penularan pandemik tersebut dilihat telah merencatkan perkembangan perhubungan antara rakyat dua negara.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, menerusi interaksinya bersama-sama dengan pemain industri mendapati kedua-dua sektor tersebut masih mempunyai permintaan yang besar di China.

“Sebelum berlakunya COVID-19, tahun 2019 menyaksikan sebanyak 3.1 juta pelancong China berkunjung ke Malaysia, sementara 15,000 belia China memilih Malaysia sebagai destinasi mereka untuk menyambung pengajian lanjut.

“Jelas sekali, jumlahnya turun dengan sangat mendadak pada tahun ini,” ujar beliau ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Penghargaan Media, di sini, petang semalam.

Dalam pada itu, Nushirwan turut meluahkan perasaan gembira beliau terhadap perkembangan positif bidang pendidikan, khususnya dalam kursus mempelajari bahasa Melayu di universiti di China.

Beliau juga yakin, pihak media kedua-dua negara akan memainkan peranan lebih besar dalam membantu mempromosi bidang tersebut.

“Saya bersyukur dengan perkembangan positif yang banyak dalam bidang (pendidikan) ini, dan gembira melihat minat yang ditunjukkan rakyat tempatan untuk mempelajari bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan kita dan juga budaya Melayu.

“Setakat ini, saya difahamkan terdapat 16 program bahasa Melayu yang ditawarkan oleh universiti-universiti di China,” tambah Nurshirwan.

Trend Pertukaran Sektor Pelancongan dan Pendidikan Malaysia-China Akan Kembali Pulih

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Perwakilan S. Sanmugan, Menteri (Ekonomi) See Chee Kong, Menteri (Pelaburan) Mohd Zukepli Embong, Menteri (Pelancongan) Zalizam Zakaria, Menteri Penasihat (Maklumat) Chern Lea Keong, Menteri Penasihat (Perdagangan) Razida Hanim Abdul Razak, Penasihat Raiz Razally, Penasihat (Pendidikan) Abdul Aziz How Abdullah, Penasihat (Imigresen) Ibrahim Jack, Penasihat (Kastam) Nik Mazaid Nik Man, Penasihat Riaz Abdul Razak, Setiausaha Pertama Nur Zaitie Suhana Zakaria dan Setiausaha Pertama (Pertanian) Nur Hidayah Kamarudin. 

张哲