Perutusan Presiden Xi Jinping Sempena Sambutan Tahun Baharu 2021

2020-12-31 19:46:18  CRI
Share with:

Sempena sambutan tahun 2021, Presiden China, Xi Jinping menyampaikan perutusan tahun baharu menerusi Kumpulan Media China (CMG) dan internet.

 

Perutusan Presiden Xi Jinping Sempena Sambutan Tahun Baharu 2021_fororder_1126926048_1609413335703_title0h

 

Salam sejahtera. Pada ambang tahun 2021, saya berada di Beijing mengucapkan selamat menyambut tahun baharu kepada anda semua.

Tahun 2020 merupakan tahun yang amat luar biasa. Berdepan dengan wabak COVID-19 yang melanda secara tiba-tiba, kami bertungkus-lumus membanteras penularan wabak dengan prinsip rakyat dan nyawa paling didahulukan. Dalam detik yang amat sukar, semangat keberanian dan berganding bahu berjaya disemarakkan sepenuhnya apabila pelbagai lapisan masyarakat di negara ini menampilkan diri untuk memikul tanggungjawab masing-masing bagi melawan wabak. Antara mereka yang berdedikasi dalam usaha ini bukan sahaja ahli perubatan dan anggota tentera, tetapi juga segenap masyarakat termasuk dari kalangan ahli penyelidik, kakitangan di kawasan komuniti, sukarelawan dan lain-lain. Mereka juga datang daripada pelbagai lapisan umur yang melibatkan warga emas dan juga generasi muda. Hasil sumbangan setiap individu, maka terwujudnya tembok sekukuh gangsa bagi melindungi nyawa. Semangat melawan wabak dapat dilihat nyata dengan keberanian seperti bergadai nyawa, aksi bahu-membahu dan pelbagai amalan yang penuh mengharukan. Kemuliaan dicipta daripada usaha yang biasa, iaitu pahlawan yang berasal daripada rakyat. Rasa simpati ditujukan kepada mereka yang dijangkiti wabak COVID-19, manakala penghormatan pula ditujukan kepada pahlawan daripada individu biasa. Saya merasa bangga dengan tanah air dan rakyat yang mulia serta semangat bangsa ini yang sentiasa berjuang teguh untuk menangani segala kesulitan.

Ketabahan hanya dapat dilihat dalam saat getir, jed terhasil setelah digosok berulang kali. Kami telah berjaya mencapai hasil yang memberangsangkan dalam usaha membendung penularan wabak dan memacukan sosioekonomi. Matlamat yang disasarkan dalam Rancangan Lima Tahun Ke-13 Pembangunan Sosioekonomi Kebangsaan telah tercapai, sementara cetakan biru untuk pembangunan lima tahun akan datang telah pun digariskan. Pembentukan paradigma pembangunan baharu dipercepat dengan menyasarkan pembangunan yang berkualiti tinggi. China merupakan entiti ekonomi utama dunia yang paling awal merekodkan pertumbuhan positif. Jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini dijangka mencecah RMB100 trilion (RM62 trilion) pada 2020. Penghasilan bijirin pula menyaksikan tuaian lumayan selama 17 tahun berturut-turut. Di samping itu, kemajuan yang penting turut dicapai dalam pengeksplorasian sains termasuk prob angkasa lepas Tianwen-I, prob Chang'e-5 dan kapal penyelam Fendouzhe. Pembinaan pelabuhan perdagangan bebas di Hainan turut dimulakan. Pada tahun ini juga, kita telah berjaya menangani bencana banjir yang teruk dan meminimumkan kerugian daripada impaknya. Semasa saya membuat tinjauan ke 13 wilayah, dengan suka citanya saya telah menyaksikan kesungguhan seluruh masyarakat dalam membendung penularan wabak, memulihkan operasi pengeluaran dan menerajui usaha inovasi.

Pada tahun 2020, kami melakar kejayaan bersifat sejarah dalam membangunkan masyarakat makmur sederhana dan membasmi kemiskinan mutlak di seluruh negara. Dengan usaha gigih selama lapan tahun, hampir 100 juta penduduk di kawasan luar bandar telah keluar daripada belenggu kemiskinan berdasarkan piawaian semasa. Saya telah menjejakkan kaki ke 14 kawasan paling mundur pada tahun kebelakangan. Keteguhan kaum tani untuk memacu pembangunan dan dedikasi sehati sejiwa pegawai tempatan sering terpacul dalam ingatan. Usaha yang gigih perlu diperkasakan lagi bagi mendorong pembangunan kawasan luar bandar dan mengorak langkah ke matlamat mewujudkan kekayaan bersama.

Pada tahun ini, kami merayakan ulang tahun ke-40 tertubuhnya beberapa zon ekonomi khas seperti Zon Ekonomi Khas Shenzhen, ulang tahun ke-30 terbukanya Zon Kewangan Baharu Pudong di Shanghai dan pelbagai lagi. Saya amat terharu dapat melihat kemajuan dan pencapaian besar tempat-tempat ini. Dasar pintu terbuka yang sudah menciptakan keajaiban pembangunan, akan terus dilaksanakan dan diperdalam pada masa depan, supaya lebih banyak keajaiban dalam pelbagai bidang dapat diciptakan.

Perjalanan jauh pasti ditemani kawan-kawan, dunia bagaikan satu keluarga. Selepas mengalami kesukaran sejak awal tahun ini, kami lebih memahami kepentingan dan makna komuniti berkongsi nasib sesama insan. Saya kerap kali berhubung dengan rakan-rakan pelbagai negara dan menghadiri beberapa mesyuarat dalam talian, topik yang paling banyak dibincangkan adalah kerjasama dan perjuangan melawan wabak. Usaha pencegahan dan pengawalan penularan wabak masih perlu dijalankan dengan bersungguh-sungguh. Rakyat pelbagai negara harus bekerjasama untuk menanangi wabak COVID-19 dan membina dunia yang lebih baik.

Tahun 2021 merupakan ulang tahun ke-100 Parti Komunis China (PKC). Walaupun mengalami banyak kesukaran dalam seratus tahun ini, kami masih teguh mengekalkan cita-cita asalnya. PKC kini dapat diibaratkan sebagai satu kapal besar, yang dapat membawa China memenangi pelbagai cabaran dan mencapai tempat tujuan akhir. PKC yang menggalas tanggungjawab dan misi asalnya, pasti akan mewujudkan kebangkitan gemilang bangsa China.

Bertapak di titik persimpangan "dua seratus tahun", kita akan mengorak langkah baharu untuk membangunankan negara sosialis moden secara menyeluruh. Hanyalah menerusi usaha keras sahaja kami akan dapat mencapai matlamat ini. Kami sudah menyelesaikan banyak cabaran dan kesukaran melalui usaha kuat, dan akan terus berusaha habis-habisan untuk mencipta masa depan yang lebih gemilang.

Sempena tahun baharu yang akan datang, semoga negara aman sentosa dan rakyat sejahtera.

Terima kasih!

王瑾