China Sahabat Sejati Afrika

2021-01-12 13:56:38  CRI
Share with:

Kunjungan pemimpin negara China ke Afrika pada permulaan tahun baharu antara tradisi yang sudah diamalkan selama 31 tahun berturut-turut, memperlihatkan betapa kukuh dan dinamiknya ikatan muhibah sesama dua pihak.

Kehadiran Menteri Luar China, Wang Yi ke lima negara Afrika mutakhir ini membuahkan lagi hasil memuaskan, yang turut menyerlahkan semangat kekitaan dalam mengharungi cabaran getir.

China dan Afrika yang sentiasa bahu-membahu dan bergotong-royong telah menjadi contoh kepada solidariti masyarakat antarabangsa melawan COVID-19 pada tahun lepas.

Selaku sahabat sejati Afrika, China aktif menyalurkan bantuan dan sokongan dalam pelbagai bentuk kepada rakyat Afrika untuk menangani situasi pandemik yang masih teruk di benua itu, termasuk barang perubatan, pasukan pakar dan vaksin.

Selain teguh menyokong Afrika memangkin pemulihan ekonomi, China turut mengemukakan empat saranan untuk memacu usaha sama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Saranan tersebut menyasar untuk menggalakkan kesalinghubungan, menyokong pembinaan kawasan perdagangan bebas dan mempercepat proses pengindustrian di Afrika, serta memperkasakan kerjasama berkaitan inovasi teknologi.

Lawatan Wang Yi ke Afrika kali ini juga menyaksikan termeterainya dua memorandum persefahaman kerjasama berhubung BRI antara China dengan Republik Demokratik Congo (DRC) dan Botswana.

Hal ini diyakini mampu membantu Afrika mengatasi kesulitan semasa, dan membawa momentum baharu bagi menjana pertumbuhan ekonomi di benua itu.

周乔西